Monday 26 October 2015

Bila Dia tidak memberi

Bila Dia tidak memberi
Bukan bermakna Dia membenci
Cuma Dia ingin kita mengerti
Di sini tiada bahagia hakiki
Suka duka silih berganti
Hidup bukan hanya di sini
Ada akhirat yang kekal abadi

Bila Dia tidak memberi
Mungkin diganti yang lebih sempurna
Mungkin ditangguh ke satu ketika
Hingga kita sudah bersedia
Mungkin yang lebih baik menanti di sana

Bila Dia tidak memberi
Mungkin Dia ingin kita lebih berharap
Meminta dengan lebih kerap
Bangun di tengah malam gelap
Merintih merayu dalam sujud yang kejap

Bila Dia tidak memberi
Itu tanda dia berkuasa
Memberi menahan sekehendak Dia
Sedangkan kita adalah hamba
Kerdil, lemah, hina dina

Bila Dia tidak memberi
Mungkin Dia ingin difahami
Hidup tidak memiliki
Pengakuan cinta pasti diuji
Hidup tak kan sentiasa indah
Langit tak kan selalu cerah
Syurga itu bukan murah
Ada yang membayar dengan darah
Jua penderitaan tak sudah-sudah
Sekadar setitis dua air mata tertumpah
Itu pun jenuh mengeluh mengadah
Mengadu pada makhluk, berkeluh kesah
Tanya pada diri sendiri
Di mana tempat ku nanti?

Wednesday 21 October 2015

Agenda yahudi?

http://bumiyangtercinta.blogspot.my/2015/06/gmo-adalah-pembunuh-no1.html?m=1

Bila baca post-post dalam blog ni, senak perut berdiri bulu roma. Terasa di luar sana banyak mata-mata musuh yang sedang memerhati. Bukan taksub, percaya membabi buta. Nak tolak bulat-bulat rasa susah pula
Sekadar ingatan buat diri yang selalu leka. Yang selalu rasa dunia ni lama. Bagai tiada penghujung, bagai tiada mati. Sedangkan maut sentiasa memerhati

The end is near but my greatest concern is worldly matters. Lemahnya diri ini, sang pengejar dunia

Mehnah akhir zaman

Aku memerhati dari hari ke hari
Masa semakin pantas berlari
Jerebu dari putih bertukar ke kuning
Cuaca makin panas
Hujan makin kurang

Belum lagi apa yang ku baca
Kemusnahan demi kemusnahan alam
Pencairan ais di kutub utara
Pelarian Syria menagih simpati di negara bukan Islam
Rakyat Palestin berjuang sendirian menentang kezaliman
Umat Islam beku, kaku
Pertelingkahan demi pertelingkahan pemimpin dunia
Bagai menuju ke ambang perang dunia ketiga gamaknya

Namun anehnya
Kebimbangan utamaku masih lagi hal dunia
Amalku tak sebanyak mana
Taubatku belum pasti diterima
Aku masih sibuk menghitung harta

Ya Allah, begitu kerasnya hatiku
Betapa tebalnya dosa yang menyelimuti
Betapa aku manusia yang sering leka, alpa
Tenggelam dalam nikmat dunia

Ampunkan aku ya Allah
Pimpin aku Ya Allah
Selamatkan aku Ya Allah
Dalam mehnah akhir zaman yang menggila

Tuesday 13 October 2015

Umat akhir zaman

Tuhan, kadang kala hati ini merintih
Mengapa kau jadikan aku umat akhir zaman?
Jauh dari NabiMu, jauh dari para sahabat, tabiin, tabi' tabiin,
Juga jauh dari zaman kegemilangan Islam
Berada di zaman yang penuh fitnah
Umat Islam sibuk bercakaran
Ditindas, dibunuh, diperlecehkan tiada pembelaan
Ramai..tapi umpama buih dilautan
Ditimpa penyakit wahan

Tuhan
Bila timbul satu pertanyaan
Terfikir, alangkah bagusnya jika Nabi masih ada
Ingin ku adukan segala persoalan
Siapa benar siapa salah?
Siapa kawan siapa lawan?
Bukan tak cukup al quran dan hadis yang kau tinggalkan
Tapi diri ini jahil... Tiada pedoman
Pening dengan pelbagai tafsiran
Ulama hak dan ulama suk sukar dibezakan
Yang salah kelihatan betul
Yang betul kelihatan salah

Aku ingin berada di zaman mu Nabi ku
Berada dekat dengan mu
Mendengar setiap untaian berharga dari bibirmu
Berada di bawah pimpinan mu yang mulia
Zaman nubuwah yang sangat gemilang

Tapi
Terfikir juga,
Jika diri ini berada di zaman itu
Akan berimankah aku dengan ajaran asing yang tak pernah didengar itu?
Yang nyata berlawanan dengan kepercayaan tradisi nenek moyang?
Atau apakah aku yang akan jadi penentang?
Tahankah diri ini dengan penindasan, kelaparan, kezaliman?
Mampukah aku melawan arus keadaan, menjadi terasing, dipulaukan?
Teguhkan diri mempertahankan keimanan?

Ketika nabi bercerita tentang israk dan mikraj
Apakah aku orang yang akan berpaling ketika hati baru terusik ingin beriman?
Lantaran cerita pelik yang langsung tak masuk dek akal
Ketika diarahkan berhijrah ke Madinah
Tegakah aku meninggalkan segala yang ada di tanah air ke negeri asing itu?
Ketika diminta berjihad
Mampukah aku melepaskan ahli keluarga yang tercinta ke medan perang?
Mampukah?

Atau jika aku berada di zaman salaf sekalipun
Siapa mampu menjamin
Bukan aku yang termasuk dalam 72 jalan itu
Bukan aku yang termasuk dalam fitnah-fitnah yang mula muncul melata
Bukan aku yang mula murtad meninggalkan agama

Segera aku beristigfar
Ya Allah, di zaman mana pun kau letakkan aku
Aku redha ya Allah
Kerana kau lebih tahu apa yang paling baik untukku
Walaupun berada di zaman jauh dari nabiMu
Tapi umat ini yang paling dikasihi nabiMu
Yang sering didoakan baginda

Walau di zaman mana pun kau campakkan aku Ya Allah
Jangan jauhkan aku dari taufik dan hidayahMu
Lorongkan aku jalan yang lurus
Jalan yang telah kau berikan kepada orang yang kau redhai
Bukan jalan orang yang kau murkai,
Juga jalan mereka yang sesat

Zaman mana tidak penting
PetunjukMu yang paling utama
Jangan jauh dari ku Ya Allah
Walau diri ini sentiasa berdosa
Kerana tanpa bimbinganMu
Akulah orang yang paling sia-sia

Salam maal hijrah 1437 hijrah

Thursday 1 October 2015

Mati

Jika diberi pilihan untuk mengetahui tarikh kematian kita, apakah kita akan memilih untuk mengetahuinya?
Sekiranya kita tahu tarikh kita akan mati sudah begitu dekat, apakah benda yang terasa begitu penting sekarang masih lagi penting untuk kita?
Apakah rasa marah, sedih, kecewa, tertekan yang kita alami masih lagi releven?
Apakah benda yang kita sangka mampu memberi kita kegembiraan masih mampu menggembirakan kita?
Siapa orang yang kita ingin berada dengannya di akhir hayat kita?
Siapa yang akan benar-benar sedih dengan pemergian kita?
Apakah cara kita ingin dikenang? Adakah itu cara kita hidup selama ini?
Belum lagi fikir kehidupan di alam baru. Cukup ke bekalan yang dibawa? Sudah redhakah Allah dengan kita? Apakah kita sudah betul-betul menjadi hamba?

# Bahana tengok cerita "The angriest man in brooklyn." Ada makna yang mendalam dalam cerita tu. Tentang apa yang dilakukan oleh seorang lelaki bila tahu dia ada 90 minit lagi untuk hidup.

Sunday 27 September 2015

Korban dan Aidiladha

Allah hanya menerima binatang ternak yang sempurna saja untuk ibadah korban. Allah nak yang terbaik saja untuk dikorbankan...

Terfikir, solat yang aku kerjakan hari-hari cukup sempurna ke untuk Allah terima? Dengan khusyuknya tah ke mana..entah-entah setiap kali lepas solat Allah lempar je ke muka aku macam kain buruk

Allah itu Maha Sempurna. Kenapa berani sembahkan sesuatu yang tak sempurna dan berharap diterima?  Lebih teruk lagi tak doa pun agar Allah terima amalan, terus assume dah buat dah ok..Allah pasti terima

Belum lagi amal lain. Dengan tak tahu lagi ikhlas ke tak. Disertai dengan rasa riak ke tak. Mmm

Amal hanya wasilah qabul dari Allah, bukan jaminan amal diterima (dipetik) Sedangkan Nabi Ibrahim lepas bina kaabah pun doa agar amalan diterima. Padahal kaabah dibina atas arahan Allah. Nabi Ibrahim seorang nabi. Pun masih harap amalan dia diterima. Apatah lagi aku.

Selamat Hari Raya Aldiladha..semoga amalan kita diterima Allah

# macam-macam jadi pada jemaah haji pada tahun ni. Memang tahun yang penuh dengan ujian. Allah nak uji sejauh mana pengakuan cinta kita pada Dia agaknya. Serius takut....takut pengakuan selama ni palsu belaka. Mmm..

Ada 10 lebih post terperam dalam draf. Cuti sekolah hari tu ingat dapat siapkan post-post tu tapi laptop masih belum ok pula. Pergi KL  je dah 5 hari. Jumpa 'adik' pertama kali kat seminar keluarga sunnah.

Wednesday 16 September 2015

Hakikat hidup di dunia II

Sambung post hari tu... Tentang hakikat hidup di dunia. Kali ni dari sudut pandang Ustaz Iqbal Zain. Yang aku perasan ustaz ni cenderung tulis tentang ilmu tasawuf, ilmu hakikat, tarikat, makrifat. Jarang sebenarnya aku nak copy paste tulisan orang lain dalam ni. Tapi ni aku tempek sini sebagai ingatan untuk diri yang selalu lupa
UNTUK APA AKU DILAHIRKAN
Untuk suatu alasan aku lahir, tumbuh membesar, bermodalkan beberapa tahun kemudian mati. Adakah sekadar itu? Tidak mungkin, kerana haiwan juga adalah seperti itu. Bagaimana mungkin manusia dan haiwan mempunyai tujuan hidup dan mati yang sama.
Aku mula mencari jawapan dengan mengenali dari mana asalku, dimana aku sekarang dan kemana halatujuku.
Berpandukan wahyu dan sabdaan, tahulah aku bahawa hakikat diriku bukanlah yang aku lihat pada rupa zahir ini, bentuk yang hanya lahir beberapa tahun yang lepas dengan anggota-anggota badan yang lengkap untuk menjadi kenderaan kepada diriku.
Hakikat diriku adalah suatu yang tak dapat kulihat, yang menunggang tubuh kasar ini selama berada didunia. Ia berada dalam jasadku. Ia-lah sebenarnya yang merasa, memandang dan mendengar. Itulah "roh" yang berasal dari alam arwah.
Roh yang dahulunya pernah menyaksikan Allah ketika perjanjian "Alastu" diambil dari semua roh. Roh yang mendengar kalam Allah yang Maha Indah, roh yang memahami dan mengakui ketuhanan Allah lalu roh ini bercakap dengan Zat yang Menciptakannya "Bahkan, kami menyaksikan".
Roh yang tak diketahui bagaimana rupanya kerana ia menyaksikanNya bukan dengan bola mata, mendengar bukan dengan gegendang telinga dan bercakap bukan dengan kotak suara dan mulut.
Roh itulah hakikat diriku. Roh yang diciptakan dari cahaya. Roh yang mempunyai pengalaman hebat melihat Robnya dan berdialog denganNya. Rupa-rupanya aku berasal dari roh yang sudah bermakrifat. Bermakna asal usul aku ialah "arif billah".
Apabila tiba masa yang dikehendaki Allah, aku berpindah ke alam yang lain, yang bernama alam rahim. Didalamnya aku di tiup(di install-kan) setelah kenderaan jasad ini benar-benar mampu dan siap untuk menanggung aku iaitu setelah ia berusia 4 bulan dalam kandungan ibu biologiku.
Setelah 9 bulan 10 hari, aku lahir didunia bersama kenderaanku yang tercipta dari tanah dan air ini. Roh-ku yang asalnya suci bersih bersifat cahaya dan rohani, kini berpengalaman baru bersama tubuh baru yang bersifat fitrah pada waktu kelahirannya.
Cantuman cahaya dan tanah ini menyebabkan aku terlupa bahawa aku berasal dari alam yang tinggi. Bahkan ramai yang terlupa akan perjanjian yang telah termeterai dengan Allah.
Tubuh badanku membesar dan membesar. Didalam tubuh jasad ini mempunyai nafsu dan beberapa sifat kehaiwanan. Benar-benar aku berada dalam ujian selama berada didunia. Aku memerlukan bapa rohani yang dapat memupuk dan membersihkan jiwaku.
Disini ramai manusia termasuk diriku terleka dan terbuai dengan nafsu dan alam dunia ini. Alpa terhadap tujuan dilahirkan disini. Tujuan hidupku disini ialah untuk menyucikan roh dan nafsu(jiwa) tersebut dari noda dan zulumat. Untuk kembalikan kepada sifat asalnya iaitu bermakrifat kepada Allah.
Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja, diutus para utusanNya dan Kitab-kitab suci mengingatkan manusia mengenai perjanjian Alastu dan perhisaban keatasnya kelak di akhirat. Mengingatkan mengapa kita berada disini dan apa tujuan akhirnya.
Apabila ajal tiba, roh ini akan dicabut dari jasad ini. Itulah maut yang pertama dan terakhir kalinya buatku. Maka terkulailah jasad yang ada mata tapi tiada boleh melihat, gegendang telinga yang tiada boleh mendengar, tangan dan kaki yang tiada mampu bergerak, kerana aku telah meninggalkannya.
Jasadku akan ditanam, dikembalikan ketempat asalnya iaitu tanah. Ia akan mereput dan hancur. Boleh jadi saja ia akan menjadi habuan ulat dan tanah. Itulah nasib kenderaanku. Namun aku akan tetap ada. Sekarang di alam barzakh, akulah yang akan ditanya oleh Munkar Nakir.
Setelah tiupan sangkakala, di Mahsyar kelak jasadku yang telah hancur akan dibangkitkan semula. Sekali lagi aku akan disarungkan kedalamnya untuk menuju ke medan perhisaban. Akulah yang akan dipertanggungjawabkan keatas segala perlakuanku didunia.
Setelah itu rohku bersama jasad hidup selama-lamanya tanpa maut akan datang menjemputnya lagi. Disana adalah kehidupanku yang hakiki. Untuk kehidupan akhirat itulah aku dilahirkan didunia ini. Demikianlah perjalananku dan seluruh hamba