Thursday 17 March 2016

Coretan Untuk Jiwa-Jiwa Yang Diuji

Kasihnya Allah pada hambaNya di dunia ni, Allah cipta mekanisme2 tertentu untuk manusia menangani kesakitan di dunia ni tak kiralah sakit pada jasad atau pada hati.

Sakit di dunia, terlebih rasa sakit manusia akan pengsan. Terlalu sangat sakit akan mati.
Terbakar kulit di dunia kalau dah teruk sangat hingga sampai ke saraf (biasanya third degree burn) manusia dah tak akan rasa sakit lagi kerana reseptor sakit yang menghantar maklumat ke otak dah musnah.


Apapun kesukaran yang kita hadapi di dunia, Allah jadikan masa sebagai penawar ajaib. Dengan masa Allah install rasa lali. Akhirnya sakit yang kita sedang hadapi tu akan beransur pergi. Alah bisa tegal biasa kata orang.

Allah jadikan manusia itu pelupa. Ya, dengan penawar masa juga, apa juga sakit yang pernah kita hadapi akan beransur pulih dengan sendirinya. Memori tentangnya kelam ditelan masa.

Pernah ke orang menangis bersungguh-sungguh hanya dengan hakikat yang bapanya telah meninggal 10 tahun lepas? Tak. Cuma memori yang sesekali datang mencuit rasa.

Mungkin kita pernah dikecewakan, ditinggalkan atau kehilangan seseorang hingga kita merasa tak akan mampu hidup tanpa dia. Namun seiring masa, rasa itu kian dilupakan hingga akhirnya kita akan mampu tersenyum melihat kebahagiaan dia bersama orang lain.
Dan lebih ajaib lagi bagi orang mukmin, dengan sabar dan redha, rasa sakit itu akan reda. Dengan keimanan yang tinggi, ujian yang pahit akan terasa manis kerana menyedari itu tanda kasih yang Maha Esa.


Itu sakit di dunia. Dalam surah Al-fatihah, selepas ayat 'yang Maha Pengasih dan Penyayang, ada pula ayat 'yang menguasai hari pembalasan.' Selepas pengasih dan penyayangnya Allah pada kita di dunia ini, kita akan berhadapan pula dengan keadilan Nya di sana.
Jika kita tergolong dalam ahli syurga, maka berbahagialah kita.
Namun jika kita tergolong dalam ahli neraka, celakalah kita.

Di dalam neraka nanti, sakit macam mana pun, tak akan pengsan. Minta nak mati pun tak akan mati.
Dalam neraka nanti, terbakar macam mana pun kulit kita, Allah akan ganti kulit yang baru untuk kita rasa sakit lagi dan lagi.

Dalam neraka nanti, tak kira betapa lama pun kita disiksa dan walau kita cuba bersabar pun, rasa sakitnya tak akan pernah berkurang. Tak akan pernah lali.

Dalam neraka nanti, seksaan terus menerus tanpa rehat, berbanding hidup di dunia dulu yang pahit manis silih berganti.

Jadi, apalah sangat sakit di dunia berbanding sakit di sana sekiranya kita gagal dalam menghadapi ujian Nya di dunia ini. Ujian nikmat juga ujian musibah.

Nota untuk diri. Sampaikan walau satu ayat.

Saturday 5 March 2016

Ain Sudah Dalam Jagaan Tuhan

Ain: Cikgu suka shin chan ke doraemon
Cikgu:Shin chan
Ain: Ain suka jejak rasul
Cikgu: Ain doakan cikgu
Ain: Ya Allah ya Tuhan ku semoga cikgu Zee dapat suami yang soleh
Cikgu: Lagi?
Ain: Ya Allah ya Tuhan ku semoga mak tenang dalam kubur (arwah nenek Ain)
Cikgu: Lagi?
Ain: ya Allah ya tuhanku, semoga Ain dapat syurga
Akhirnya hari ni 4 Mac 2016 hari Jumaat, Ain betul-betul dah dapat syurga.. Rehatlah ain baik-baik ya. Cikgu dah dalam perjalanan ke hospital nak jumpa Ain, tapi tak sempat jumpa juga.
Ain ada ingatan yang kuat. Bila cikgu lain tanya nama anak-anak cikgu dia boleh ingat semua. Bila ada yang saja-saja tanya siapa nama suami cikgu Zee ain jawap 'suami yang soleh.' Mmm susah nak jumpa nama macam tu

Friday 4 March 2016

Intan Insan Pilihan

Ain...
Dia bersih tiada dosa,
Seputih salju tiada noda,
Tiada cinta dunia di hatinya,
Tiada hasad dengki, tidak bersangka-sangka,
Tiada rasa cemburu, tidak berlumba-lumba,
Dia tenang dalam dunia istimewanya,
Cukup makan pakai tersedia,
Dia senyum tanda gembira.

Ain...
Kadang kala cikgu kurang mengerti,
Kadang cikgu menepuk dahi,
Kadang cikgu tercuit hati,
Dengan Ain yang bercakap tanpa henti.

Ain...
Tak pernah lokek bila diminta mendoakan,
Setiap permintaan cikgu lekat dalam ingatan,
Berulang kali pun tak pernah kepenatan,
Tulus hatimu tak kan cikgu lupakan.

Ain
Ketika ini bebelan mu lah yang cikgu tunggu,
Ketawa halusmu kedengaran syahdu,
Kata-katamu bagai berlagu,
Sungguh cikgu dilanda rindu,
Maafkan atas kekurangan cikgu mendidikmu.

Ain...
Enam belas tahun kau dipinjamkan,
Hadirmu sebagai rahmat juga ujian,
Lahirmu membawa senyuman,
Pergimu membawa kenangan,
Maafkan cikgu kiranya kurang perhatian,
Maafkan cikgu kiranya kurang pengertian,
Maafkan cikgu kiranya kurang kesabaran,
Maafkan cikgu atas segala kekurangan.

Ain...
Menjelang detik perpisahan,
Cikgu lihat Ain semakin muram,
Tiada ketawa ceria, tiada juga senyuman,
Diminta makan Ain enggan,
Cikgu tarik ajak masuk ke dalam Ain tegak terus diam,
Kosong pandangan mata,
Bagai tuli telinga,
Kalau saja cikgu tahu itu kali terakhir melihatmu di muka pintu,
Ingin cikgu rangkul Ain di kala itu,
Ingin cikgu berkata; moga di sana kita dapat lagi bertemu,
Bersama Ain di syurga Firdausi,
Walau hati gusar sekali,
Mengenang khilaf diri,
Cikgu tak setulusmu Ain,
Cikgu banyak yang perlu disoal dan dipertanggungjawabkan,
Andai kata cikgu tergelincir di titian,
Harap doamu dapat menyelamatkan.

Ain...
Anak autisme anak syurga,
Bersih hatimu tiada dosa,
Biacaramu lurus tiada dusta,
Mungkin kau sudah kepenatan di dunia,
Rehatlah Ain baik-baik di sana,
Hingga tiba hari kebangkitan semula,
Kembali Ain ke tempat asalmu di syurga.

Ain...
Pergimu membawa pengajaran berharga,
Nak mati tak kira umur, tiada tanda,
Tak perlu sakit bertahun lama,
Bila-bila masa boleh dipanggilNya,
Tak tunggu bila kita sudah bersedia,
Tidak ditunda hingga amalan sudah cukup dibawa,
Beringat sentiasa jangan leka,
Kelak kita juga akan menyusulnya,
Penyaksian di alam roh dulu akan ditanya,
Siapa Tuhan siapa hamba,
Tidak bisa lagi mendabik dada,
Diri tersungkur takut bersuara,
Walau meminta dengan air mata darah,
Kembali ke dunia tak mungkin sudah,
Segalanya ditimbang walau sebesar zarah,
Moga tiada penyesalan tak sudah.

Ain...
Panjang sudah cikgu berbicara,
Walau cikgu tahu Ain tak dapat membacanya,
Cukup sekadar luahan rasa,
Sebagai pelepas rasa di dada,
Cikgu tahu kini Ain tenang di sana,
Dalam dakapan yang Maha Esa,
Dengan gambaran taman-taman syurga,
Yang sedia menantimu bila-bila masa,
Setinggi mana kasih kami padanya,
Melangit lagi kasih Ilahi pada insan suci tiada dosa,
Mendung di tanah perkuburan,
Tatkala jasad disemadikan,
Bagai turut sama menangisi pemergian,
Anak istimewa di sisi Tuhan,
Intan insan pilihan.
Intan Nurain dalam kenangan.
7 Jun 1999 - 4 Mac 2016
12.12 pm hari Jumaat