Tuesday 13 October 2015

Umat akhir zaman

Tuhan, kadang kala hati ini merintih
Mengapa kau jadikan aku umat akhir zaman?
Jauh dari NabiMu, jauh dari para sahabat, tabiin, tabi' tabiin,
Juga jauh dari zaman kegemilangan Islam
Berada di zaman yang penuh fitnah
Umat Islam sibuk bercakaran
Ditindas, dibunuh, diperlecehkan tiada pembelaan
Ramai..tapi umpama buih dilautan
Ditimpa penyakit wahan

Tuhan
Bila timbul satu pertanyaan
Terfikir, alangkah bagusnya jika Nabi masih ada
Ingin ku adukan segala persoalan
Siapa benar siapa salah?
Siapa kawan siapa lawan?
Bukan tak cukup al quran dan hadis yang kau tinggalkan
Tapi diri ini jahil... Tiada pedoman
Pening dengan pelbagai tafsiran
Ulama hak dan ulama suk sukar dibezakan
Yang salah kelihatan betul
Yang betul kelihatan salah

Aku ingin berada di zaman mu Nabi ku
Berada dekat dengan mu
Mendengar setiap untaian berharga dari bibirmu
Berada di bawah pimpinan mu yang mulia
Zaman nubuwah yang sangat gemilang

Tapi
Terfikir juga,
Jika diri ini berada di zaman itu
Akan berimankah aku dengan ajaran asing yang tak pernah didengar itu?
Yang nyata berlawanan dengan kepercayaan tradisi nenek moyang?
Atau apakah aku yang akan jadi penentang?
Tahankah diri ini dengan penindasan, kelaparan, kezaliman?
Mampukah aku melawan arus keadaan, menjadi terasing, dipulaukan?
Teguhkan diri mempertahankan keimanan?

Ketika nabi bercerita tentang israk dan mikraj
Apakah aku orang yang akan berpaling ketika hati baru terusik ingin beriman?
Lantaran cerita pelik yang langsung tak masuk dek akal
Ketika diarahkan berhijrah ke Madinah
Tegakah aku meninggalkan segala yang ada di tanah air ke negeri asing itu?
Ketika diminta berjihad
Mampukah aku melepaskan ahli keluarga yang tercinta ke medan perang?
Mampukah?

Atau jika aku berada di zaman salaf sekalipun
Siapa mampu menjamin
Bukan aku yang termasuk dalam 72 jalan itu
Bukan aku yang termasuk dalam fitnah-fitnah yang mula muncul melata
Bukan aku yang mula murtad meninggalkan agama

Segera aku beristigfar
Ya Allah, di zaman mana pun kau letakkan aku
Aku redha ya Allah
Kerana kau lebih tahu apa yang paling baik untukku
Walaupun berada di zaman jauh dari nabiMu
Tapi umat ini yang paling dikasihi nabiMu
Yang sering didoakan baginda

Walau di zaman mana pun kau campakkan aku Ya Allah
Jangan jauhkan aku dari taufik dan hidayahMu
Lorongkan aku jalan yang lurus
Jalan yang telah kau berikan kepada orang yang kau redhai
Bukan jalan orang yang kau murkai,
Juga jalan mereka yang sesat

Zaman mana tidak penting
PetunjukMu yang paling utama
Jangan jauh dari ku Ya Allah
Walau diri ini sentiasa berdosa
Kerana tanpa bimbinganMu
Akulah orang yang paling sia-sia

Salam maal hijrah 1437 hijrah

No comments:

Post a Comment