Showing posts with label penulisan. Show all posts
Showing posts with label penulisan. Show all posts

Sunday 14 February 2016

Cinta Tak Semestinya Memiliki

Saya bawa dia ke rumah kerana belas melihat dia yang masih kecil ditinggal sendiri,
Tanpa ibu, ayah atau saudara yang ambil peduli,
Saya ke kedai mencari makanan, dia menghilang diri,
Puas mencari, rupanya di bawah dashboard kereta dia bersembunyi,
Sampai ke rumah, dia enggan keluar walau dipujuk berkali-kali,
Nak tarik tak sampai hati, takut wayar kereta putus sekali,
Puas saya memujuk, dia bantai tidur.. Oh sakitnya hati!
Tetap tak keluar walau diumpan makanan enak sekali,
Panas hati, saya tinggalkan dia sendiri

Lewat petang, terbit rasa ihsan di hati,
Sebab si kecil tak makan lagi,
Terbongkok2 macam apa, akhirnya dia dapat ditarik keluar ini kali,
Dia cakar saya, siap naik atas kepala sekali,
Memang tak kenang budi! Getus di hati

Makanan saya bagi dia sebat macam lupa diri,
Tapi di belakang peti ais dia tetap bersembunyi,
Tengok muka saya, macam apa dia berbunyi,
Mungkin dia tak pernah tengok makhluk secomel ini...

Si kelabu mata hijau yang saya sayangi,
Kalau inilah sikap kamu setiap kali,
Nampaknya hubungan kita tamat di sini,
Esok kamu saya pulangkan dengan berat hati,
Semoga kamu gembira kembali ke tempat hakiki,
Dunia penuh kebebasan, bukan rumah sempit yang selalu tak berpenghuni..

Walau jodoh kita berakhir cepat sekali,
Kenangan bersama tetap saya simpan di hati, 
Kamu kucing pertama yang berjaya membuka pintu hati,
Saya sangka kita akan sama-sama mengharungi pahit manis hidup ini,
Siapa sangka akhirnya begini,
Mungkin benar kata orang, cinta tak semestnya memiliki,
Moga kamu temui pengganti,
Yang mampu jaga kamu lebih baik lagi,
Saya halalkan makan minum yang diberi,
Panjang umur kita jumpa lagi.

Nyata di dunia ini tiada apa yang abadi..
Sob sob..






‪#‎tak‬ pasal2 sebab kau org tahu belakang peti ais aku penuh taik cicak.. Jgn kau tambah tahi kat situ dah le

Monday 8 February 2016

Bila Diri Disayangi

Aku ada sorang kawan. Sempoi je orangnya. Peramah, ringan mulut, pandai bawa diri. Pergi mana-m pun dia senang dapat kawan. Kelakar, gila-gila, boleh tahan lorat. Boleh masuk la.
Dia sangat punctual orangnya. Yang ni sangat kontra dengan aku yang selalu meleceh, lembab, tak on time. Dia ni tak la feminin sangat so bila bersiap memang dia cepat. Dan bila dia dah siap tu mula la dia timing aku yang tengah bersiap.

"Lagi 5 minit."
"Dah lambat 2 minit ni."

Huh! Sakit pula hati ni. Tapi sebenarnya bagus ada orang yang kontra dengan kita ni. Boleh improve diri.


Kawan aku ni juga orang yang aku boleh share cerita-cerita agama. Walaupun dia bukan latar belakang dari bidang agama, tapi dia sentiasa nak meningkatkan diri dari segi tu. Suka pergi seminar agama, suka kerja-kerja volunteer, suka belajar. Menjaga pergaulan dengan lelaki, tak gedik. So bila sekali sekala keluar cerita dia ada crush dengan mana-mana lelaki tu, aku agak takjub juga la. Tapi setakat tu je la. Dia pun tak ada la obses sangat benda2 macam ni. Ikutkan dah ada yang tunggu dia. Cuma dia yang sampai sekarang tak bagi kata putus. Dalam masa yang sama diorang tak bermsg atau calling2 pun. Jumpa pun dengan family masing-masing. Aku memang kagum bab ni.

Ok back to the topic. Hari tu aku naik KL pergi seminar surah Al-Rahman, Ustaz Syaari Abd Rahman kat UKM. Esoknya pergi usrah dia kat OUM pula. Bagus ustaz ni. Kuliah dia ada ala-ala Nouman Ali Khan. Cerita detail, ayat by ayat surah2 Al-Quran. Dan cara penyampaian dia pun menarik.

Balik dari usrah, berjalan pula sehari suntuk ke Ikea. Lepas tu pergi Jusco Cheras, makan kat Velodrom dan hantar balik sorang lagi member kat Bandar Tasek Selatan. Dalam kereta on the way balik rumah dia cakap dalam satu benda yang lekat dalam kepala aku sampai sekarang.

"Aku selalu terfikir, Allah sayang aku tak. 
Tapi rasanya Allah sayang aku sebab dia bagi aku macam-macam."

Serius aku terdiam. Agak tersentak. Dan rasa diri aku kecik sangat. Ya, aku tahu Allah tu Maha Pengasih Maha Penyayang. Aku tahu pengasihnya Allah melebihi murkanya. Dalam surah Al-Fatihah pun ayat "Yang Maha Pengasih Yang Maha Penyayang" disebut dulu sebelum "Yang menguasai hari pembalasan."

Aku tahu Allah dah beri aku macam-macam. Dalam tahun 2013, aku tulis aku nak tiga benda. Aku nak pergi umrah, nak rumah sendiri dan nak kahwin. 2/3 benda tu Allah bagi dalam tahun tu juga. Yang Allah belum beri tu pun mesti ada sebabnya, yang kadang-kadang bila aku fikir-fikir balik, akan terlepas perkataan -Terima Kasih Allah kerana tidak memberi. Tu yang boleh buat satu puisi tajuk 'Bila Dia Tidak Memberi' dalam post sebelum ni. Sebab serius, dalam Allah tak memberi apa yang aku minta tu, sebenarnya banyak yang Dia beri tanpa aku minta pun. Allah.

Dalam aku rasa pengasih dan penyayangnya Allah tu, siap pergi seminar surah ar-rahman bagai, sebenarnya aku belum pasak betul-betul dalam hati aku. Aku kadang-kadang rasa yang aku tak layak. Amalan aku tak banyak, tak sempurna, hati aku kotor lagi, dosa banyak. Kadang-kadang masih rasa yakin tak yakin je Allah ampunkan atau tak. Tapi tu kan tandanya aku masih bergantung pada amalan. Masih berburuk sangka pada sifat Maha pemurahnya Allah. Padahal bila Allah nak bagi, Dia tak pernah tengok semua tu. Bak satu post yang aku tulis kat fb sebelum  ni.

"Tadi tengok astro oasis terpampang muka Malik Nor, tak pasti rancangan apa.
Dia cerita orang selalu tanya macam mana dia boleh dapat hidayah... 
Dia jawab- saya mintak.
Walaupun dia tak solat masa tu, dengan life dia yang dulu, tapi bila dia doa mintak hidayah, Allah tetap bagi. Dia dapat mimpi, dapat gambaran neraka..
Mak kita kalau kita degil, tak pernah buat apa yang disuruh, derhaka.. bila kita minta apa2 pun belum tentu mak kita bagi kan.
Tapi Allah nak bagi tak kira siapa.. Yang taat yang tak taat.. Asal ikhlas minta Dia bagi
Bila dengar rasa macam- baiknya Allah"


Memang tu apa yang aku pernah tulis dulu, tapi rupanya aku juga yang selalu lupa baiknya Allah. Selalu lupa betapa sayangnya Allah pada aku sebelum ni. Belum tahap yakin macam kawan aku ni sampai dia boleh cerita kat aku dengan yakinnya yang Allah sayangkan dia. Kan Allah tu mengikut sangkaan hambaNya. Patutlah hidup dia nampak mudah je. Dia suka travel dan selalu dipermudahkan je bila nak travel. Macam duit dia banyak sangat boleh travel oversea setahun sampai 3-4 kali. Travel dalam Malaysia jangan cakap la. Setiap kali pergi travel setiap tu dapat kawan baru. Dapat naik jadi ketua sektor tahun lepas. Dapat macam-macam benda la.

Dia pernah cakap yang dia suka travel tu bukan sebab excited sangat nak tengok tempat orang, tapi dia suka sibuk. Suka penat. Dia suka rasa yang masa dia penuh dan bermanfaat sebab dia selalu rasa yang hidup dia sekarang ni senang sangat. Banyak rehat. Lagi satu dia selalu kata bila travel jadi musafir doa makbul. Cita-cita dia nak pergi Palestin tapi mak dia tak bagi. Dia suka ikut travel yang ada pengisian agama macam dia pergi Pulau Jawa sekarang ni, untuk menjejak sejarah Islam kat sana.

Dia pernah cakap, dia pernah doa supaya Allah uji dia supaya dia lebih rasa dekat pada Allah. Sebab masa tu dia baru dapat solve problem dia so dia sendiri rasa dah jauh dari Allah masa tu. Bagus kan.

Dan patut juga bila aku cakap aku nak kahwin sebab aku selalu rasa tak kuat nak jadi baik sendiri-sendiri, dia akan tegur ingatkan -Allah kan ada. Sebab tu dia tak terhegeh-hegeh sangat dengan cinta manusia ni. Dan dia tak heran sangat dengan barang-barang dunia ni. Penampilan dia sederhana je. Dia selalu je teman aku shopping, tapi dia macam takde nafsu sangat nak shopping baju, kasut, beg, tudung ni. Kontra la dengan aku yang selalu rambang mata ni. Adalah juga dia membeli, tapi barang-barang keperluan dan buku.

Dan lagi satu sebab dia pemurah. Hati dia baik. Humble. Selalu cuba dahulukan orang lain dari diri sendiri. Tu mungkin salah satu sebab kenapa hidup dia nampak dimudahkan sentiasa. Ada jugalah aku tahu satu dua event yang mengegarkan hidup dia. Tapi dia masih ok. Masih cakap "Allah dah makbulkan doa aku." Sungguh. Sangka baik dia pada Allah buat aku malu. Dan betul, bila kita tanamkan rasa yang "Allah sayang aku," itu akan jadi motivasi terbaik untuk kita buat benda2 yang Allah suka. Akan jadi motivasi untuk hanya cari Dia bila susah. Hanya bergantung pada Dia.

Analoginya bila kita tengah bercinta, kita akan jadi lebih semangat nak buat apa-apa kan. Hidup pun ceria je. Dan kita tahu nak cari siapa bila kita ditimpa masalah. Bayangkan macam mana pula rasa bila kita rasa Allah sayang kita. Betul2 rasa macam tu. Lagi la semangat kan hidup kita nak buat apa2 sebagai persediaan nak jumpa Dia nanti. Mesti jadi apa-apa pun akan rasa tenang je, takde sedih dan risau berlebihan macam firman Allah dalam surah al-baqarah

“Dan bahkan siapa menyerahkan diri pada Tuhan sedang ia berbuat kebajikan, baginya pahala di sisi Tuhannya dan tiada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka sedih hati” (QS. 2:112)

Mulai hari ni aku akan cuba pasakkan kuat-kuat dlm hati aku yang Allah sayangkan aku. Akan cuba singkirkan segala rasa2 serta sangkaan2 yang tak baik tu. Mudah-mudahan dengan sangkaan tu, Allah akan betul2 redha dengan aku di saat aku tinggalkan dunia ni nanti (sebenarnya masih ada rasa keliru antara nak sangka baik dengan Allah dan sangka buruk pada diri sendiri. Takut terlebih yakin nanti jadi riak, sombong, ujub pulak. Susah nak cari keseimbangan antara tu)

Terima kasih ya Allah atas ehsan Mu kepadaku. Suatu ketika dulu, hujung tahun 2011, aku pernah berdoa supaya dikurniakan orang2 yang baik untuk menjadi penyokong sekeliling aku. Sebab masa tu memang aku rasa tak kuat nak jadi baik sendiri2. Aku bukan background agama. Family biasa-biasa je. Ilmu tak ada, amal apatah lagi. Aku nak penyokong supaya semangat yang baru ada ni tak mudah lebur. Masa tu nak masuk usrah. Dah siap bayar yuran semua tapi tak dipanggil-panggil. Kurang naqibah agaknya.

Tapi sekarang Kau bagi aku kawan-kawan sekerja yang baik, GPK yang memberatkan agama untuk anak buah dia, jiran2 yang baik, ada kawan nak pergi seminar agama, ada kawan-kawan dari facebook tempat aku rujuk macam2 benda even tak pernah jumpa pun.

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu dustakan?

Saturday 25 July 2015

Lamaran Sebuah Perkahwinan

Ya, aku suka tulis..
this one aku tulis lama dah
and this is my favourite...
perkahwinan tanpa couple, tanpa dating, full of surprise
siapa berani cakap tak akan berjaya 
enjoy;)

 

Azah mundar mandir dalam bilik. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Keadaan bilik yang berhias indah nyata tak dapat mententeramkan hatinya. Hantaran yang digubah pelbagai bentuk di atas katil terasa begitu menyemakkan mata apatah lagi dengan pakaian songket tebal dengan kembang di bahagian bahu. Dia benar-benar rimas.
Dari tingkap biliknya, Azah dapat lihat mak dan abah tak menang tangan melayan tetamu yang tak kunjung surut. Wajah kedua mereka tak lekang dengan senyuman. Maklumlah, anak bongsu yang selama ini liat nak berkahwin akhirnya akan menjadi isteri orang. Apatah lagi bakal menantunya memang calon idaman mereka.
“Budak ni, tak reti duduk diam agaknya,” Temah Ghazal masuk memeranjatkan Azah. “Habis dah ronyok baju kau tu.”
Azah mengeluh. Baru sekejap dapat merehatkan telinga, dah diganggu semula
“Dah siap pelamin?” tanya Azah.
“Belum. Dah lebih 20 tahun aku buat pelamin, tah pernah-pernah runtuh. Kahwin kau ni boleh runtuh pulak. Isshh tak-”
“Mak Temah pergilah buat, nanti tak sempat pula,” cepat Azah memotong sebelum sempat Temah Ghazal memanjangkan leterannya
Akhirnya Temah Ghazal keluar semula, membuatkan Azah lega sedikit. Baru sebentar tadi telinga Azah disumbat dengan pelbagai tip suami isteri daripada Temah Ghazal. Sedikitpun tidak membantu, malah membuatkan Azah makin takut untuk melayari kehidupan sebagai suami isteri. Mana taknya, Temah Ghazal asyik menyebut tentang tanggungjawab isteri; isteri perlu banyak mengalah, banyak bersabar, melebihkan suami daripada segala hal yang lain, sedia menerima kelebihan dan kekurangan suami. Ah, semuanya hanya menuntut pengorbanan daripada pihaknya. Bagaimana pula dengan pihak suami. Adakah si suami tidak perlu bersabar, tidak perlu mengalah? Adakah si suami sedia menerima kelebihan dan kekurangan isteri ataupun kekurangan si isteri akan dijadikan alasan untuk menambah cawangan?
Ah, dia terlalu jauh berfikir padahal dia belum pun melangkah ke alam rumah tanngga. Buat masa ini Azah perlu bersendirian. Bersendirian memikirkan sedalam-dalamnya tentang masa depan yang bakal ditempuhnya kelak dengan orang yang tak dikenali hati budinya lagi.
Walaupun Azah orang yang diraikan dalam majlis ini, tapi baginya, dialah orang yang paling tidak gembira sekali. Awal pagi tadi baju sifon sutera putih hadiah Kak Long untuk dipakai pada majlis nikahnya koyak rabak dicakar Boby, kucing kesayangannya yang menyebabkan kucingnya itu dikuarantin sehingga majlis perkahwinan ini selesai. Dan kerana itulah Azah kini memakai baju songket putih yang pernah dipakai oleh emak pada majlis perkahwinannya dulu. Ikutkan hati Azah lebih rela memakai baju kurung biasa daripada baju tahun 50an ini, tapi nenek yang beria-ia mahu Azah memakai baju putih untuk pernikahan, kononnya mengikut tradisi. Rasanya baju kurung putih yang emak selalu pakai untuk menghadiri majlis pengkebumian pun lebih baik daripada baju songket kembang di bahu ini. Sebentar tadi, pelamin putih gading yang baru dibina semalam runtuh di bahagian kepalanya. Cuaca di luar pula kelihatan semakin muram. Adakah ini petanda masa depan kelam yang bakal dilaluinya kelak?
“Lawa pun bila pakai kebaya macam ni,” nenek yang muncul tiba-tiba mengejutkan lamunan Azah.              
“Kan elok selalu macam ni daripada asyik pakai baju yang tah apa-apa tu.”

Azah sekadar tersenyum. Azah tahu nenek memang tidak suka melihat dia memakai seluar. Kalau boleh nenek mahu dia berbaju kurung sahaja setiap hari. Sebenarnya baju ini yang ’tah apa-apa.’ Kalau rakan-rakan sekerjanya nampak Azah memakai baju ini, tentu mereka ketawa besar. Namun Azah turutkan juga keinginan nenek itu. Lagipun daripada awal lagi majlis ini memang bukan untuknya. Majlis ini untuk memenuhi keinginan nenek yang ingin merapatkan lagi hubungan kekeluargaan nenek dan abangnya yang menyaksikan dua cucu mereka bersatu memandangkan dia dan bakal sua.....emm, Azhar merupakan dua pupu (Azah masih lagi tergeliat lidah untuk membahasakan Azhar sebagai suami). Majlis ini untuk menutup mulut orang kampung yang tak habis-habis bertanya bila dia akan mendirikan rumah tangga sekaligus melegakan telinga emak daripada sindiran orang-orang kampung. Majlis ini untuk menenangkan hati abah yang sentiasa risau mengenangkan anak gadisnya yang duduk jauh di Kuala Lumpur, tiada di depan mata. Majlis ini untuk memuaskan hati Abang Uda yang tak habis-habis melobi Azhar bagai mereka telah berkawan berpuluh tahun lamanya padahal Abang Uda baru berjumpa Azhar beberapa kali sahaja sejak Azhar pulang daripada luar negara. Majlis ini hanya untuk memenuhi harapan dan keinginan keluarganya. Azah sendiri langsung tidak terlibat dalam perancangannya. Semua pakaian pengantin termasuk mak andam dan pelamin dipilih oleh Kak Long. Ikutkan dia tidak ingin bersanding pun. Apa guna tersenyum penuh kepura-puraan di depan tetamu-tetamu sedangkan hatinya langsung tidak gembira. Kugiran yang bingit memainkan lagu rock jiwang karat ketika ini dipilih oleh Abang Uda yang memang gemar berkaraoke. Lauk pauk untuk kenduri kendara semuanya diuruskan abah dan mak.
“Ni ambil, pakai,” tiba-tiba nenek menghulurkan seutas gelang tangan dengan batu permata merah yang halus buatannya.
“Cantiknya! Tak pernah tahu pun nenek ada gelang ni!”
“Saja aku simpan, nak bagi masa kau kahwin nanti.”
“Sayang nenek,” lantas Azah memeluk dan mencium pipi nenek bertalu-talu.
“Issh budak ni, dah merah pulak pipi aku ni. Dah nak jadi bini orang pun perangai macam budak-budak lagi.”
Azah tersengih saja. Nenek memang bermulut tajam, tapi hatinya baik.
“Dah, aku nak tengok orang buat kerja kat luar tu. Kalau tak ditengok, entah apa jadi. Jaga baik-baik, tu gelang pusaka,” ujar nenek lagi sambil berlalu keluar dengan lenggangnya.
Azah tersenyum sendiri. Nenek nampak lebih sibuk dari mak dan abah. Gembiranya macam dia pula nak jadi pengantin. Azah teringat kembali peristiwa 3 bulan lepas...
“Budak Azhar tu bukan orang lain. Kecil-kecil dulu korang bukan main rapat lagi. Pergi sekolah sama-sama, main sama-sama. Kadang-kadang sampai tak nak balik rumah.”
Dulu memanglah, tapi nenek tak faham ke, Azhar yang ingin dijodohkan dengannya ini bukan Azhar 20 tahun yang lepas. Kalau dia Azhar yang dulu, memang Azah pun tak ingin. Dahlah lembik, penakut, rongak pulak tu. Azah ingat lagi bagaimana dia menumbuk Bob yang dua kali lebih besar darinya semata-mata untuk membela Azhar yang sering dibuli Bob. Dan bagai masih terasa lagi pedihnya telinga diketil emak selepas emak Bob datang menyerang emak di rumah.
“Azah fikirlah baik-baik. Maksu Bibah tu bukan orang lain, saudara kita juga,” lembut mak memujuk.
Dulu Azah memang rapat dengan Maksu Bibah, emak Azhar, tapi sejak Maksu Bibah berpindah daripada kampung mereka, Azah semakin jarang berhubung dengan sepupu emaknya itu.
“Tapi Azah dah lama tak jumpa Azhar. Ni bukan zaman dulu mak, nak atur-aturkan jodoh. Orang sekarang pilih sendiri, suka sama suka,” Azah mula berani buka mulut setelah tadi hanya menikus mendengar leteran nenek. Inilah sebabnya dia malas balik ke kampung. Setiap kali balik, pasti hal ini yang akan ditimbulkan. Bagi Azah, berkahwin atau tidak, tak menjadi isu pun. Dia selesa hidup begini, bebas hendak melakukan apa saja tanpa terikat dengan apa-apa komitmen selain kerjaya. Lagipun, masih banyak yang perlu dilakukan sebelum usianya menginjak 30 tahun 2 tahun lagi.
“Nilah susahnya kalau anak dah terlebih pandai dari orang tua. Cakap kita, ada aja nak dibantahnya. Kalau Azhar tu, ikut aja cakap mak dia. Kau tu pula yang banyak alasannya. Nak tunggu kau pilih sendiri, sampai matilah aku jawabnya.”
Daripada nada nenek, Azah tahu nenek berjauh hati dengan sikapnya. Bukan sekali ini saja, malah telah berkali-kali nenek cuba meyakinkan dia supaya menerima Azhar. Malah Azah tahu yang nenek turut mempengaruhi Pak Long, Mak Uda dan Mak Andak untuk turut memujukya. Hebat juga politik nenek!
Sejak dulu lagi, berbakul-bakul pujian telah didengar tentang Azhar. Azhar baik, kerja bagus malah tampan. Tampan pada pandangan nenek tentu sekali berbeza dengan pandangan Azah. Baik pada nenek belum tentu baik padanya. Dan kerja Azhar; dia tidak peduli apa kerja Azhar, cukup jika lelaki itu tidak menjadi biawak hidup yang perlu ditanggung kelak. Jika Azhar begitu sempurna sekali seperti mana yang sering dilagukan di telinga Azah sebelum ini, mengapa dia masih tidak punya pilihan hatinya sendiri? Kenapa dia begitu mudah untuk bersetuju dengan pernikahan ini? Hati Azah sangsi sekali. Tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki bernama Azhar ini. Mungkinkah Azhar seorang lelaki konservatif yang percaya dengan perkahwinan pilihan keluarga. Bagaimana jika selepas berkahwin Azhar menyuruh dia duduk di rumah saja menjaga anak dan suami. Ah...tak mungkin. Azhar lulusan luar negara. Tapi jika nenek menyukainya, tentu dia sekepala dengan nenek juga. Matilah aku!
“Azah, Azah tak duduk sini, cuma balik sekali-sekala dengar mak dengan nenek berleter. Mak ni yang hari-hari dengar orang mengutuk pasal Azah. Diorang asyik bercakap, apa guna belajar jauh-jauh, kerja besar-besar, tapi tak laku, jadi andartu, macam-macam lagi. Mak yang terpaksa tahan telinga. Azah tak rasa tu semua,” mak mula menitiskan air mata.
Azah memang lemah kalau mak dah mula pakai cara psikologi. Setinggi mana pun kedudukan Azah pada hari ini, dia masih ingat pengorbanan ibu bapanya yang membanting tulang setiap hari untuk membesarkannya, sanggup bergolok gadai untuk memenuhi impiannya belajar di luar negara. Azah tak mungkin lupa itu semua. 
Akhirnya Azah setuju juga. Kalau dah lebih sepuluh orang kata Azhar tu baik, lama-lama Azah termakan juga. Apa salahnya sekali ini dia berkorban untuk keluarganya.
Sebaik saja Azah memberi persetujuan, tarikh pernikahannya terus ditetapkan 2 bulan lagi. Rupa-rupanya kedua belah keluarga telah lama merancang, tinggal menunggu kata putus Azah sahaja. Dalam 2 bulan itu, baru dua kali Azah berjumpa dengan Azhar. Itu pun di rumah masing-masing dikelilingi sanak saudara. Walaupun majlis perkahwinannya ditetapkan dalam masa yang singkat, namun majlis pada hari ini tetap sempurna dan meriah. Segala persiapan diatur keluarganya tanpa Azah ambil pusing pun. Daripada dia pening-peningkan kepala memikirkan majlis yang cuma sehari ini, lebih baik dia memikirkan masa depan yang bakal dilalui bersama Azhar nanti.
Mak Temah yang masuk tiba-tiba menyentap kembali lamunan Azah.
“Ni apa pasal pucat aja bibir ni. Kau padam ke gincu tadi?”
“Tebal sangatlah Mak Temah, nak senyum pun susah.”
“Alah, bukan selalu. Hari ni je kau nak solek lebih sikit. Isshh...kalau dapat sepuluh pengantin macam kau ni, boleh pengsan aku dibuatnya,” leter Temah Ghazal sambil menonyoh kembali gincu di bibir Azah. Lantaklah, lepas ni boleh padam balik.
“Kawan-kawan kau dari bandar tu dah datang. Tiga kereta semuanya.”
“Azah nak jumpa diorang Mak Temah, bolehkan?” pinta Azah separuh merayu.
“Tak boleh. Biar dia orang makan dulu. Dah siap nikah nanti baru boleh jumpa,” balas Temah Ghazal tegas.
“Kenapa pula?” tanya Azah terkilan. Di saat ini, dia perlukan teman berbual untuk meredakan sedikit keresahannya. Bukan nenek dan bukan Temah Ghazal. Mereka hanya tahu memberi nasihat yang berjela-jela.
“Kau tu dah nak naik pelamin, nanti hilang seri kalau ramai sangat orang dah tengok.”
Azah mengeluh. Ada saja pantang larang pelik-pelik yang terpaksa dipatuhi.
“Dah, jangan nak tarik muka pulak. Duduk diam-diam, baca ayat seri naik pelamin yang aku bagi tadi. Kejap lagi laki kau sampai.”
Ayat seri naik pelamin? Karut! Kertas yang diberi Temah Ghazal tadi telah di mana-mana Azah campakkan.
Sejenak Azah teringat rakan-rakan sepejabatnya yang beria-ia mahu melihat Azah bersanding. Maklumlah, di kalangan mereka, hanya Azah saja yang masih belum mempunyai teman istimewa, tiba-tiba dia pula yang akan melangsungkan perkahwinan. Bila Azah sampaikan berita ini pada mereka, satu pejabat mentertawakannya.
Are you really sure, Azah. I knew Jason almost 2 years and still I feel I’m not really know him, but you….only meet twice and straight away ….married,” terputus-putus Wendy berbicara menahan gelak.
“Mesti dia ni handsome macam Brad Pitt. I know you, really high taste,” Rita tersengih cuba menahan tawa.
Azah menggeleng. Dia telah bersetuju sebelum bertemu Azhar lagi.
“Tak pun mesti dia kaya, lagi kaya daripada anak Datuk Arshad yang you reject tu,” Suhaili pula menyampuk.
Kan aku dah cakap, dia pilihan mak bapak aku. Aku cuma ikut aja,” balas Azah, sakit hati dengan sikap teman-teman yang tidak mengerti.
“Ha, baru hari ni aku tahu kau ni anak mithali rupanya!” Daniel pula mengusik.
Tawa mereka berderai semula.
“Tapi aku rasa sesuailah diorang ni. Azah, Azhar. Azhar, Azah. Kan dekat-dekat aja nama tu,” ujar Daniel lagi, tambah membengkakkan perasaan Azah.
“Kahwin bukan perkara main-main, Azah,” ujar Rita, mula serius. How can you make sure that he is really ‘the one’ by just meet him twice, no longer than 5 minutes?” 
Azah diam. Betul juga kata Rita. Sedangkan rakannya dulu yang bercinta bagai nak rak sejak zaman persekolahan, akhirnya musnah juga perkahwinan mereka, bagaimana pula dengannya yang hanya bertemu semula 2 kali sahaja. Lantas, Azah teringat pesan ibunya malam tadi….
“Bercinta sebelum kahwin belum tentu menjanjikan kebahagiaan. Mak pun tak pernah kenal abah sebelum kahwin, tapi kami masih kekal hingga ke hari ni. Yang penting, Azah mesti utamakan suami dalam segala hal. Tak boleh ikut kepala sendiri je macam dulu.”
Entahlah, Azah sendiri tak pasti sama ada dia mampu untuk meletakkan lelaki ini sebagai penentu haluan hidupnya kelak.
  “Azhar adalah pilihan yang paling tepat untuk Azah. Percayalah, kami takkan pilih yang buruk untuk Azah. Mak yakin Azah akan bahagia dengan Azhar,”
 “Azhar,” tiba-tiba terpacul nama itu dari bibirnya. Semoden-moden Azah, lidahnya bagai kelu untuk meminta nombor telefon Azhar daripada ibunya. Azhar sendiri tidak pernah menelefonnya. Dua kali mereka bertemu pun hanya ketika rumah masing-masing mengadakan kenduri.
 Spontan Azah teringat pertemuan pertamanya dengan Azhar ketika Azhar bertandang ke rumahnya dulu. Dia sendiri tak menyangka, lelaki yang dikenali sejak kecil lagi, kini telah jauh berbeza. Mungkin renungan dan lesung pipit di pipinya yang masih mengingatkan Azah pada teman lamanya itu. Tentang rupa, memang Azah tak nafikan, taste nenek bukanlah teruk sangat, tapi dari segi baik, Azah tak dapat pastikan lagi. Masing-masing hanya saling berbalas senyum tanpa sepatah kata. Maklumlah banyak mata di sekeliling yang memerhati.
 Kali kedua mereka bertemu semasa kenduri arwah ayah Azhar di rumahnya. Waktu itu dia sedang berdiri membasuh sayur di sinki. Daripada tingkap dapur yang terbuka, dia curi-curi melihat Azhar yang sedang sibuk membantu orang kampung memasak. Entah mengapa matanya begitu tertarik untuk memandang Azhar. Dengan tuala kecil tersangkut di bahu, seluar panjang yang dilipat ke paras betis dan lengan panjang yang disinsing ke atas, lelaki itu nampak santai sahaja bergaul dengan orang-orang kampung yang sebaya dengan abahnya. Tak sangka pandangan mereka bertembung pula. Malunya Azah rasa, bimbang dianggap tersua-sua pula. Sempat Azhar  memberi isyarat mata ingin berjumpa di tepi rumah.
Sampai saja di tepi rumah, terus saja Azah melontarkan soalan pada Azhar yang sedang menunggunya di pangkin bawah pohon jambu, tempat mereka selalu bermain dahulu.
 “Kenapa awak setuju dengan pernikahan ni?”
 “Kenapa awak setuju?” tanya Azhar kembali. Wajahnya tenang saja menjawab soalan Azah yang keras nadanya.
 “Sebab keluarga saya.”
 “Diorang paksa awak?”
 “Awak belum jawab soalan saya tadi,” ujar Azah, tidak mahu dia pula yang disoal siasat.
 “Awak rasa?”
 Ah, Azhar ini sengaja mahu mengelak soalannya.
 “Setahu saya, lelaki yang setuju dengan pilihan keluarga dalam soal jodoh cuma ada tiga. Pertama, lelaki tu ‘anak emak.’ Kedua sebab dah give up nak cari sendiri sama ada baru frust putus cinta atau dah tak laku sangat dan pilihan satu lagi..” Azah terdiam seketika, keberatan untuk mengatakannya.
 “Apa satu lagi?” tanya Azhar.
 “That man is gay but want to prove that he’s not.
 Spontan Azhar tergelak.
 Namun Azah terus berlagak biasa. “Boleh saya tahu, awak ni kategori yang mana satu?”
 Azhar diam sejenak sebelum menjawab. “Tiga-tiga bukan. Saya sedia kahwin dengan awak atas dasar tanggungjawab.” Wajahnya tampak serius.
     Azah mengerut dahi. “Kenapa pula?”
     “Sebab saya pernah cium awak masa kita tadika kat tempat ni,” serentak Azhar tergelak besar.
     Wajah Azah mula merona merah. Sempat dia mainkan aku!
     “Dan ingat tak lepas tu awak tendang kaki saya sampai lebam seminggu.”
   “Memang patut pun. Awak dulu-” sebelum sempat Azah menghabiskan ayat, terdengar seseorang berdehem di belakang. Nenek rupanya. Habis kantoiKalau orang lain boleh bagi chance, tapi bukan nenek.
  “Nenek Long! Bila sampai?” sapa Azhar mesra. Cepat Azhar mengambil beg di tangan nenek lantas mencapai tangan nenek bersalam. Siap bongkok habis untuk mencium tangan lagi. Pandainya membodek. Patut nenek yang cerewet pun boleh cair.
“Baru aja Pak Ngah kamu hantar tadi,” jawab nenek. “Amboi anak dara ni, orang tengah sibuk kat dalam, kau duduk senang lenang kat luar pulak. Pergi masuk, ringan-ringankan tulang tolong apa yang patut.”
Azah masam. Tengok tu, aku sorang yang kena marah, padahal Azhar yang ajak keluar tadi. Nenek memang berat sebelah, Azah merungut sendiri.
“Tengok, membebel pula tu. Azah ni memang macam ni Azhar, keras kepala. Nanti pandai-pandailah kau jaga dia.”
Berdesing telinga Azah mendengarnya sementara Azhar hanya tersenyum-senyum. Nasib baik selepas itu Maksu Bibah datang menyambut nenek, kalau tidak, mahu nenek terus membebel memalukannya di depan Azhar.
“Azah jangan ambil hati dengan nenek Azah tu. Biasalah orang tua,” lembut Maksu Bibah memujuk apabila nenek telah masuk ke dalam rumah. Terubat juga hati Azah yang panas tadi.
Yang Har ni, buat apa tersengih-sengih lagi kat sini. Pergi tolong orang kampung kat belakang tu,” tegur Maksu Bibah pada anaknya.
Azah tersenyum sendiri, teringat betapa baiknya ibu mertua....opss, bakal ibu mertuanya itu.
“Apa yang kau sengih sorang-sorang lagi tu. Rombongan pengantin lelaki dah sampai,” becok suara Temah Ghazal memecah lamunan.
Berderau darah Azah. Kalau nak lari sekarang sempat tak agaknya, sempat Azah membuat rancangan bodoh.
Di ruang tamu, Azhar telah siap sedia bersila di hadapan Tok Kadi. Sebelum Tok Kadi sempat memulakan bicara, Azhar membisikkan sesuatu kepada Tok Kadi. Kemudian semua orang berbisik sesama sendiri apabila permintaan Azhar tadi dinyatakan oleh Tok Kadi.
Sementara itu di dalam bilik, Azah cuba bertenang di sebalik rasa gementarnya. Namun apabila tiba-tiba Mak Uda dengan wajah serius menggamit Temah Ghazal keluar dari bilik, dirasakan bagai ada ombak tsunami yang memukul dadanya, membuatkan dia tidak boleh bertenang lagi. Apa pula masalahnya? Adakah Azhar mengubah fikiran di saat akhir? Ya Allah, tabahkanlah hatiku menghadapi segala yang mendatang.
“Assalamualaikun Azah,” tiba-tiba Azhar terpacul di muka pintu. “Boleh saya masuk? Ada benda sikit saya nak cakap.” Nada Azhar kedengaran cukup serius.
Azah hanya mengangguk, tak sanggup mengangkat muka. Apa jua yang bakal diucapkan oleh Azhar, dia harus bersedia. Azhar masuk ke dalam bilik tanpa menutup pintu memandangkan hanya mereka berdua saja dalam bilik pengantin itu.
“Azah, saya tahu awak sedang resah sekarang ni. Percayalah saya lebih-lebih lagi. Sejak kita dewasa, kita langsung tak kenal satu sama lain. Azah yang ada dalam fikiran saya selama ini cuma Azah 20 tahun yang lepas. Azah yang lasak, kasar, garang, dengan rambut pendek seluar pendek, suka panjat pokok, main paya dengan budak lelaki.”
Amboi sakan mengutuk aku. Kalau dah tak sudi tu cakap ajalah.
Bila saya jumpa awak semula hari tu, saya sedar yang Azah saya tak pernah berubah. Masih lagi degil, keras kepala, tegas.” Azhar berhenti seketika. But she never fail to amuse me,” nada Azhar mula berubah lembut.
“Dulu Azah pernah tanya saya kan, kenapa saya setuju dengan pernikahan ni? Memang pernikahan ni kehendak keluarga kita, tapi ini kehendak saya juga. Kalau Azah nak tahu saya sukakan Azah sejak kita kecil lagi. Lepas kita jumpa semula perasaan tu mula bertunas kembali, malah semakin bercambah menjadi sayang. Sebab tu saya tak ragu-ragu untuk terima Azah. Tapi saya tahu Azah ambil masa yang lama untuk terima saya. Itupun mungkin sebab Azah terpaksa bila orang sekeliling asyik desak Azah.”
Azah hanya diam, terus menundukkan muka. Memang dia terpaksa menerima Azhar tetapi entah mengapa separuh daripada hatinya kuat menyatakan yang Azhar adalah pilihan terbaik untuknya. Mungkin kerana dia mula termakan pujukan nenek, emak dan saudara maranya yang lain atau mungkin rasa itu terbit lewat dua kali pertemuan mereka dahulu. Entah, Azah sendiri tidak pasti dengan pertimbangannya sendiri ketika ini.  
“Saya dapat rasakan yang kita mampu untuk lakukannya bersama…maksud saya hidup sebagai pasangan suami isteri. Tapi saya tak mahu jadi orang yang pentingkan diri sendiri. Sebab tu saya nak tahu perasaan Azah. Apakah Azah benar-benar ikhlas untuk terima saya? Apakah Azah memang tak ada sesiapa sebelum ni?” Azhar diam  seketika, memberi ruang untuk Azah berbicara tetapi Azah tetap diam dan menunduk.
“Saya pernah nak tanya Azah masa kita jumpa bawah pokok jambu tapi tak sempat. Lepas tu, saya tak tahu macam mana lagi nak jumpa Azah. Nak minta nombor telefon daripada mak pun rasa segan sangat apatah lagi nak datang rumah Azah. Saya tahu sekarang bukan masa yang sesuai untuk saya tanyakan perkara ni tapi selagi ijab dan kabul belum dilafaz, masih tak terlewat untuk kita hentikan pernikahan ni. Saya tak akan paksa kalau Azah tak mahu.”
Azah memberanikan diri mengangkat muka memandang Azhar. Wajah Azhar nampak tenang. Ketenangan yang mendamaikan Azah seketika. Azhar tampak segak dalam persalinan baju melayu cekak musang putih bersampin songket hitam bertenun emas. Azah tidak dapat membayangkan apabila dia berdiri di sebelah Azhar dengan baju songket putih ’old fashion’ ini. Bagai enggang dengan pipit, bagai pinang dikapak-kapak!
“Azah, sekarang ni Azah tak payah fikir benda lain. Suarakan aja apa yang Azah rasa. Pasal nenek, pasal keluarga kita, pasal majlis ni biar saya yang uruskan. Azah tak perlu risau apa-apa.”
Azah kehabisan kata-kata. Jika sebelum ini, Azhar yang dikenali ialah Azhar ‘anak emak’ yang manja dan penakut tapi ternyata Azhar yang sedang berdiri di hadapannya sekarang adalah Azhar yang berbeza. Azhar yang cukup berani melakukan apa yang dia sendiri tak terfikir untuk melakukannya. Seketika hati Azah mengakui yang pilihan keluarganya adalah pilihan yang cukup tepat sekali.
Menyedari Azah hanya diam, hati Azhar semakin gusar. “Azah, apa Azah betul-betul rela menjadi isteri saya?”
Azah cuba menjawab, tetapi seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya. Akhirnya, cuma air mata yang mampu keluar. Ahh..kenapa aku perlu menangis sekarang. Dia hanya ingin bertanya, bukannya membatalkan majlis ini seperti yang disangka. Tetapi jika betul dia ingin membatalkan majlis ini sekalipun, mengapa aku perlu bersedih. Bukankah ini apa yang aku inginkan? Hati Azah bermonolog sendiri, cuba menenangkan dirinya daripada terus menangis. Dia malu menangis di depan Azhar. Jika dulu Azhar yang selalu menangis dan dia yang akan memujuk.
Air mata Azah memberi pengertian yang berbeza bagi Azhar. Ya, memang benar Azah tidak pernah rela menerimanya. Mungkin Azah telah mempunyai teman istimewa.
“Azah nak saya batalkan majlis ni?” dengan berat hati Azhar bertanya.
Laju Azah menggeleng, tindakan refleks yang dia sendiri tidak sempat mengawalnya. Yang pasti air matanya masih tidak henti mengalir.
“Azah, jangan macam ni. Nanti orang ingat apa pula saya dah buat dengan anak dara orang ni,” sempat Azhar mengusik sambil tersenyum. Senyuman yang mampu memadam segala keresahan yang bersarang di hati Azah sejak tadi.
“Azhar!” setelah mengumpul segala kekuatan, akhirnya Azah mampu untuk bersuara
“Ya,” balas Azhar lembut. Sejuk telinga Azah mendengarnya.
“Betul awak sayangkan saya?”
Azhar tersenyum lantas mengangguk
“Sejak bila?”
“Sejak kecil lagi. Kalau tak macam mana budak lembik dan penakut macam saya boleh berani cium budak tomboi macam awak.”
Azah ketawa kecil. Ah, peliknya. Baru sebentar tadi Azhar membuatkan dia menangis, kini Azhar membuatkan dia ketawa pula.
 “Tapi tu cinta monyet,” bidas Azah. Jawapan Azhar masih belum memuaskan hatinya.
 “Macam saya cakap tadi, saya sedar perasaan tu masih ada bila saya jumpa Azah semula.”
 “Masa awak datang rumah abah? Tapi masa tu awak dah setuju.”
 Azhar menggeleng namun tetap tersenyum. “Bukan. Itu bukan kali pertama saya jumpa Azah semula.”
 “Jadi bila?” tanya Azah tidak sabar.
 “Kira-kira setahun lepas. Masa tu saya datang rumah Azah untuk jenguk nenek sakit. Tapi masa tu tak ada orang dekat rumah. Nasib baik saya tak balik terus kalau tidak tentu saya tak nampak Azah tengah panjat pokok mangga tinggi belakang rumah untuk turunkan anak kucing Azah. Mungkin Azah pun tak perasan saya masa tu sebab Azah asyik sangat bercakap dengan kucing tu,” Azhar tersenyum nakal.
 “Awak memang suka orang panjat pokok ke?” Azah sengaja menduga, menyembunyikan rasa malu. Kenapa Azhar perlu melihat dia dalam keadaan memalukan seperti itu? Kenapa tidak Azhar melihatnya ketika dia sedang menyapu halaman atau memberi ayam makan atau apa-apa sahajalah selain daripada memanjat pokok.
 “Kalau macam tu, lebih baik saya kahwin dengan beruk,” ujar Azhar spontan.
Azah menjeling, pura-pura masam namun dengan perasaan seakan-akan di awangan ketika ini, sukar untuk dia menyembunyikan senyuman.
 “Saya suka bila Azah tak habis-habis buat saya kagum, tak habis-habis buat saya tersenyum dan tak habis-habis buat saya fikirkan Azah sejak tu. Yelah, sebelum ni saya tak pernah nampak anak dara panjat pokok tinggi sampai hujung dahan. Siap gayut-gayut lagi.” Azhar ketawa kecil.             
Wajah Azah merona merah namun dia masih cuba berlagak selamba.
 “Sekarang awak tahu kan Azah yang awak kenal dulu masih lagi belum berubah. Masih lagi suka panjat pokok, masih lagi degil, keras kepala, semberono. Awak sanggup terima semua tu?”
 “Saya sanggup terima semua tu sebab saya tahu di sebalik luaran Azah yang keras, dalamnya ada Azah saya yang manis, penyayang, Azah yang lembut hati, sanggup berkorban sebab tak nak hampakan keluarga. Dan juga Azah yang cengeng,” sempat Azhar mengusik.
 Azah tersipu malu. “Selain tu, awak sanggup terima kucing saya, Boby? Saya tak akan pergi mana-mana tanpa dia. Tapi dia nakal. Dia yang cakar baju nikah saya sampai saya terpaksa pakai baju ’Syarifah Aini’ ni.”
    Azhar tergelak. “Azah memang sentiasa ada cara untuk buat saya ketawa kan?”
    “Saya tak buat lawak,” Azah terpinga-pinga.
   “Saya tahu cuma saya tak boleh berhenti tersenyum bila dengan Azah,” balas Azhar, cuba untuk serius semula. 
“Ok, saya sanggup terima Boby asal Azah janji jangan panjat pokok kalau Boby tersangkut atas pokok lagi.”
“Kenapa pula tak boleh?” tanya Azah, bimbang memikirkan kemungkinan Azhar mahu dia berubah menjadi perempuan yang ayu, lemah lembut, memakai kain batik dan baju kurung sepanjang masa.
“Saya takut isteri saya jatuh. Lain kali biar saya yang panjat.”
 Sekali lagi Azah tersipu-sipu.
“Orang dekat dalam tu tak habis-habis lagi ke?” suara nyaring nenek daripada luar memutuskan perbualan mereka. 
“Tok kadi dah lama tunggu, lepas ni boleh sambung lagi. Nak bercerita sampai pagi pun boleh.”
Azah dan bakal suaminya (wah!) saling berbalas pandang sebelum masing-masing tersenyum geli hati. 
Azah, untuk kali terakhir saya bertanya, apakah Azah sudi menjadi isteri saya?”
Dengan senyuman yang paling manis, Azah mengangguk sepenuh hati. Mana mungkin dia menolak lamaran ini. Jika wanita lain dilamar dengan sebentuk cincin dan sekuntum bunga, tetapi Azah dilamar dengan sebuah perkahwinan. Bukan saja ada cincin dan bunga, tetapi lengkap dengan hantaran, bunga pahar, pelamin, mas kahwin, khemah kahwin dan nasi minyak. Pendek kata lengkap segala-galanya.   
“Oh ya, tak kira baju Syarifah Aini’ ke, Saloma’ ke, Azah tetap manis di mata saya.” Sempat Azhar mengenyit mata sebelum melangkah keluar daripada bilik pengantin itu.
Kembang hati Azah mendengar pujian Azhar. Jika tadi dia bimbang ditertawakan rakan-rakan sekerjanya, kini tidak lagi. Asalkan elok di mata Azhar, pandangan orang lain tidak lagi relevan padanya.          Wah, gaya seperti orang yang sedang dilamun cinta saja!   
Dan ketika awan di langit bertukar cerah, pipi Azah pula dibasahi hujan lebat tatkala mendengar lafaz akad nikah yang diucap tenang oleh Azhar, tanda merelakan dirinya menjadi milik Azhar yang sah, untuk selamanya.