Thursday 30 July 2015

We will end up alone




Rumah terbuka Aidilfitri....
Terima kasih 'my jiran' jemput aku,
Terima kasih layan aku yang datang sorang-sorang, supaya aku tak kekok berada di tengah-tengah tetamu yang asing. Yang datang dengan family masing-masing. Yang dah saling mengenali antara satu sama lain. Kecek Klate dengan Ganu yang aku tak berapa nak pehe.
Aku pun faham, ramai orang. Tak kan nak layan aku je
So aku duduk bersila sorang-sorang.
Makan senyap-senyap dalam keriuhan.
Terima kasih hidang macam-macam makanan sedap-sedap
Minta maaf, aku cuma mampu jamah sikit untuk sedapkan hati tuan rumah
Tahun depan jangan lupa jemput aku lagi
InsyaAllah aku akan datang
Dengan sekeping hati yang lebih cekal
Tanpa rasa pathetic
Atau terkilan
Jauh sekali persoalkan takdir Tuhan





Wujud ke istilah kawan antara lelaki dan perempuan?

Boleh ke lelaki dan perempuan jadi kawan? (dan aku maksudkan ni untuk lelaki/ perempuan bukan mahram yang straight saja. Bukan gay, bukan lesbian)

Kalau tanya aku yang dulu aku jawab boleh. Apa salahnya? Dalam cerita-cerita kat tv tu banyak je laki dengan pempuan kawan-kawan. Macam best je. Yelah sebab kawan lelaki tak akan jealous bila kau dressing lagi meletops dari dia. Kawan lelaki pandai bidang-bidang yang biasanya perempuan tak pandai. Contoh komputer, kereta. Kawan lelaki lebih sesuai untuk korang-korang yang ganas, tak berapa nak control ayu ni. Untuk lelaki, kawan perempuan lebih empati, lebih prihatin. Pantang tengok muka kau sedih sikit, dia akan tegur. Kawan perempuan tak akan sampai hati gelakkan korang secara berjemaah bila kau jatuh tergolek depan orang ramai. Kawan perempuan kau tak akan pakai baju yang sama dua hari berturut-turut hingga mengganggu deria bau kau. Dan dulu aku pernah berangan, sweetnya jatuh cinta dengan kawan baik sendiri sambil menyanyi ‘lucky I’m in love with my best friend.’ Opss, kat mana kita tadi?

Kalau tanya aku yang sekarang aku jawab hampir mustahil. Sebab? Tak compatible, leceh, banyak nak kena jaga di mana hampir mustahil boleh dijaga yang mana lebih mudah kalau kata tak boleh. Titik.

Tak faham.

Ok macam ni. Antara benda yang nak kena jaga antara lelaki dengan perempuan adalah physical contact. Tak boleh bersentuh. Langsung. Dan buang segala kemungkinan serta kebarangkalian  benda tu jadi. So bila kau makan dengan kawan lelaki/perempuan, kena makan jauh-jauh sebab takut tersenggol ke apa. Bila kau jalan dengan kawan lain jantina, kena jalan jauh-jauh takut tangan tengah sedap hayun terkena tangan dia.

Tak kan ter pun berdosa. Islam kan mudah.

Mungkin betul, tak sengaja tak dosa (aku kata mungkin sebab aku tak tahu) Tapi macam mana pula dengan tindakan kau yang bawa kepada benda tak sengaja tu. Contoh, kau tak minum arak tapi duduk semeja dengan orang yang minum arak. Bila kau terminum air dia sebab ingat tu air Zappel kau, salah tak kau yang gatal juga duduk situ walau kau ada pilihan untuk tinggalkan meja tu?
Kawan-kawan bila dah sedap bercakap, mesti dengan tangan-tangan akan naik. Atau bila bergurau, mesti ada bertepuk tampar, cubit mencubit, sekeh menyekeh. Mampu tahan tangan tu setiap masa dan ketika daripada bersentuh dan tersentuh? Lagi kalau tak jaga jarak. Jangan sembang la.

Yang kedua, bila bercakap kau kena pastikan yang suara kau tu tak jatuh pada suara yang boleh dianggap melembutkan/melunakkan suara hingga menimbulkan keinginan tak elok dalam hati lelaki (untuk perempuan) Hati orang, kau mampu nak tebak? Dan bila kawan kau tengah sedih, mesti kau nak pujuk lembut-lembut kan. Macam mana nak pastikan lembut tu tak masuk dalam perkara yang dilarang dalam surah al-ahzab ayat 32 tu? Menurut Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, message dengan emoticon tu pun boleh masuk dalam melembutkan suara di mana smiley comel-comel boleh dianggap yang perempuan tu nak bermesra-mesra. Dan untuk lelaki, macam mana nak pastikan ayat-ayat korang tu tak memberi harapan palsu untuk perempuan-perempuan yang mendengar?

Ketiga bab jaga pandangan. Senang ke nak bercakap tak pandang muka atau pandang sikit-sikit je. Kawan, mesti akan minta pandangan kawan kan. Baju aku ok? Kau rasa aku gemuk ke? Aku sado tak? Selalu pergi gym ni. Emmm. Jadi kat mana konsep menundukkan pandangan tu. Konsep perempuan solehah tidak memandang dan tidak dipandang lelaki? (vice versa)

Keempat, lelaki dan perempuan bukan mahram dilarang duduk berdua tanpa kehadiran orang ketiga. So kau tak boleh naik kereta berdua-dua dengan dia, tak boleh keluar jalan-jalan berdua-dua, belajar berdua-dua dekat kantin dan sila senaraikan sendiri. Pasal orang ketiga ni ada khilaf. Ada yang kata duduk berdua-duaan di tengah-tengah orang ramai tu takpe sebab tak kira berdua-duaan. Ada kata tak boleh. Aku pernah dengar Ustaz Zaharuddin cakap, syarat orang ketiga tu adalah orang yang boleh mencegah kemungkaran. So pada pandangan aku (cuma pandangan, jangan jadikan fatwa) kalau bercakap dengan lelaki/perempuan dalam tempat yang dikelilingi ustaz-ustaz, imam-imam serta tok bilal di mana kau tahu kalau kau bercakap lebih-lebih dengan gaya gedik/bajet macho, kau akan menerima jelingan maut dan silap-silap ditegur tang tang tu juga yang mana boleh menjatuhkan gengsi kau, so itu boleh. Sebab orang sekeliling tu adalah orang ketiga yang boleh mencegah kemungkaran.

Tapi kalau kau keluar bertiga pun, tapi orang ketiga tu asyik pegang handphone di mana kalau korang berpegangan tangan pun dia akan buat macam tak nampak je, so dia tak dikira orang ketiga yang membolehkan lelaki dan perempuan duduk bersama. Sama juga kalau kau bawa adik kau yang umur 4 tahun yang tak faham pun batasan lelaki perempuan. Clear?

Perkara kelima yang perlu dijaga adalah sama ada hubungan kau dengan kawan kau yang berlainan jantina tu boleh menimbulkan fitnah atau tak. Contoh, kalau kau lima orang kawan perempuan dengan lima orang kawan lelaki masuk dalam satu rumah, tutup semua tingkap, semua pintu. Memang tak berdua-duaan pun, tapi benda tu boleh jadi menimbulkan syak wasangka pada orang yang melihat, so tetap tak boleh (bukan fatwa) Pernah dengar bagaimana Nabi Muhammad s.a.w cepat-cepat bagitahu pada dua orang lelaki yang nampak baginda berdua dengan isteri dia Safiyah, takut lelaki tu ingat Nabi dengan perempuan lain. Lelaki tu kata, tentulah Rasullah. Nabi kot. Tapi Nabi balas syaitan tu berjalan dalam salur darah anak adam, takut lelaki tu salah sangka. Macam tu sekali Nabi jaga agar orang tak berprasangka padahal baginda nabi, orang nak sangka apa pun. Macam mana pula dengan kita? So kalau kau berkawan rapat dengan lelaki/ perempuan dan orang anggap korang couple, so yang faham tentang couple tu tentu tahu yang itu dah termasuk dalam fitnah yang memang patut dielakkan.


Ni belum masuk lagi bab tiba-tiba salah seorang terfeeling kat kawan dia. Sadisnya bila kawan dia tak rasa apa yang dia rasa. Atau lepas kahwin pasangan kau cemburu pula pada kawan lain jantina kau tu. Adoi...malas la nak cerita bab ni.

Tapi jangan bimbang. Semua masalah ni akan selesai kalau kawan kita tu sama jantina. Boleh duduk dekat-dekat, boleh peluk, pegang tangan, tengok muka dia puas-puas. Bukan setakat boleh naik kereta berdua-duaan, tidur sebilik sekatil pun boleh (diulangi, tulisan ni untuk mereka yang ‘tak bengkok’ sahaja). Bila dia sedih, kau boleh pujuk dia tanpa risau suara atau ayat kau tu boleh bawa maksud lain. Boleh keluar berdua tanpa ada khilaf. Boleh ber message bercakap dengan dia tanpa risau tentang zina hati. Pasangan korang pun tentu tak jealous. Dan untuk lelaki, kau boleh kentut kuat-kuat lepas tu buat macam tak ada apa-apa depan kawan lelaki kau. Dengan perempuan...tak dapat der

Tapi kalau nak juga kawan lain jantina ni boleh. Kawan la dengan ayah/mak kita, abang/akak kita, adik kita, bapak/mak saudara kita, atuk kita dan...pasangan kita yang halal. Senang kan? (senyum)

Habis kalau kerja sama-sama, belajar sama-sama, berpersatuan segala bagai tu macam mana?

Bagi aku tu kenalan, bukan kawan. Kau kenal dia, berhubung dengan dia untuk memudahkan tugas kau, tahu sikit-sikit pasal dia, minta tolong bila perlu. Betul-betul perlu. Cukup setakat tu. Tak perlu kau nak tahu dia suka warna apa, apa dia buat malam tadi, bergelak tawa, bergurau senda apatah lagi sampai nak keluar berdua-dua atas nama kawan. No no no no (gerak-gerak jari)

Macam mana pula kawan dalam facebook? Bagi aku dan diulangi ini hanya pandangan aku di mana pandangan ini valid untuk masa ni sahaja. Boleh jadi di masa akan datang bila aku jumpa pendapat dari ustaz lain, aku akan ubah pandangan pula. Kalau mampu jaga lima benda kat atas tu, apa salahnya. Tak bersentuhan, tak dengar suara (kat fb memang tak) jaga pandangan (jangan upload gambar dengan aksi manja menggoda apatah lagi yang tak menutup aurat) jangan guna emoticon gambar love kiss kiss tu dan elakkan apa-apa yang boleh timbulkan fitnah termasuk fitnah dalam hati tu. Serius, fitnah dalam hati adalah fitnah yang paling susah nak jaga.






Tapi kalau la antara friend list ko tu adalah ex kau dulu, walaupun dia tak upload gambar bukan-bukan, korang tak ber private message bagai..tapi kehadiran dia dalam friend list ko dah menimbulkan fitnah dalam rumah tangga kau, bagi aku tetap tak boleh.

Susahnya Islam ni (tarik muncung)

Tak sayang. Islam adalah agama yang sangat lengkap, menyeluruh, halus. Agama yang menjaga keharmonian antara sesama manusia. Yang menjaga sekecil-kecil perkara hatta nak masuk keluar toilet dengan kaki mana pun, apatah lagi hubungan antara lelaki dan perempuan. Belajar bawa kereta pun ada jarak selamat (3 second rule) untuk elak kereta belakang tercium bumper kereta depan. Tapi ramai orang lepas habis belajar, dapat lesen, terus lupa rule ni. Main tailgate sesaja. Tu yang banyak jadi accident. Faham kan? (angkat kening dua kali)

Yang halal itu jelas, yang haram itu jelas. Antara keduanya ada perkara yang syubhat (samar-samar) Siapa yang menjauhkan diri daripada perkara syubhat, dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.

So tepuk dada tanya iman. Boleh ke lelaki dan perempuan jadi kawan?

   Hukum chat siber laki wanita dan syaratnya- Dr Zaharuddin)


Disclaimer

Rujukan tu aku tak salin dari kitab hadis bagai. Of course aku Google, cut and paste saja. Kesemuanya adalah hadis dan ayat al-quran yang kita dah biasa dengar dan baca. Jadi aku beranggapan ia adalah rujukan yang valid.

Walaupun tulisan di atas menggunakan perkataan kau dan korang, tapi yang aku maksudkan tu bukan korang yang membaca, tapi diri aku sendiri. Peringatan tu yang paling berguna adalah untuk diri sendiri sebelum untuk orang lain. Anggaplah ‘aku’ dalam tulisan di atas adalah fitrah aku yang suci, murni dan bersih yang pernah suatu dulu ketika di alam roh bersaksi, bala syahidna (benar, engkau Tuhan kami, kami menjadi saksi) sementara ‘kau’ dalam tulisan di atas adalah aku yang dah dicampak di dunia ni, yang selalu lupa janji yang pernah aku lafazkan dulu dek kerana pesona gilang gemilang cahaya dunia yang memancar-mancar ni. Tulisan ni pengingat untuk aku di kala lupa.   

Sekali lagi diingatkan, tulisan di atas hanya pendapat aku semata-mata berdasarkan rujukan dan kuliah yang pernah aku dengar. Bukan hukum atau fatwa. Jadi terpulang pada orang yang membaca sama ada nak setuju atau tak.

Rujukan

"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang  Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati “. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Untuk seseorang lelaki di antara kamu ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik baginya daripada ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” [dihukumkan Sahih oleh al-Haitsamiy, al-Mundziri dan lainnya]. 


Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), (dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;…) Al-Quran; Surah an-Nuur: 24: 31



“Wahai Ali, jangan anda susuli pandangan demi pandangan (melihat wanita), yang pertama itu sahaja (pandangan tiba-tiba terlihat, yang halal) bagi mu dan tidak (halal) bagi mu yang selepas itu” HR al-Hakim, Ahmad Abu Dawud dan lainnya, dihukumkan Sahih oleh al-Hakim dan disetujui adz-Dzahabi dan lainnya. Sila lihat “Sahih al-Jami‘ as-Saghier”: no: 7953 (Hasan).

Shafiyyah binti Huyay [istri Rasulullah] bekata : “Ketika Rasulullah  sedang  beri’tikaf  di  masjid,  saya  mendatanginya  di suatu malam dan bercerita. Kemudian saya pulang dihantar beliau. Ada  dua  orang  anshor  berjalan  dan  ketika  keduanya  melihat Rasulullah  mereka  mempercepat  jalannya,  Rasululah  berkata: “Pelan-pelanlah.  Dia  itu  Safiyah  binti  Huyay”.  Mereka  berkata: Maha suci Allah , Rasulullah!” Rasulullah bersabda . “Sesungguhnya syaitan  berjalan  di  tubuh  anak  adam  pada  peredaran  darah,  aku khawatir setan itu melontarkan kejahatan di hati kamu berdua, sehingga timbul prasangka yang buruk.” (Bukhori 4:240,Muslim 2174-2175)

Saidatina Aisyah RA pernah berpesan, sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang.

Maksud dari sabda Nabi s.a.w. : "Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan ia ditemani oleh mahramnya, dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya."

"Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan" (riwayat imam Ahmad).

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu melunakkan suara dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik." (al-Ahzab: 32)


Dekat tapi jauh

Aku ada ramai adik beradik. Lima dah kahwin 4 belum. Aku ramai anak saudara. Paling tua 9 tahun. Paling muda 7 bulan dan yang lagi muda dalam perut insyaAllah dua orang.
Aku suka observe macam mana adik beradik aku layan anak masing-masing. Dari situ aku boleh beza. Manusia memang tak sempurna, aku tahu. Tapi kita belajar setiap hari kan. Dari bacaan, orang sekeliling. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan. Dan bila nampak yang tak sempurna, aku cuba untuk tak judge. Yelah, mana tahu diizin Allah aku jadi mak, aku pun akan jadi macam tu juga. Aku bukan sesabar mana. Sekali sekala terlepas juga perkataan-perkataan jahanam, shit, bengong, bongok semua tu.
Aku tak ramai anak saudara perempuan. Cuma 5 orang. Yang dah besar pandai melawa 4 orang. Pagi-pagi raya muka 4 orang ni la yang aku ngadap dulu. Solekkan dorang walau baju raya aku cuma sempat sarung kain dengan muka togel tak menyempat nak bubuh apa-apa.
Ada dua orang anak saudara perempuan aku umur dekat-dekat (5 tahun dengan 4 tahun) yang sangat-sangat la comel. Dalam adik beradik masing-masing dorang ni anak tunggal pempuan, so dorang rapat. Selalu gaduh pun ye. Perangai masing-masing sangat beza.
Sorang lemah lembut, sorang garang. Sorang dengar kata sorang melawan. Sorang boleh diharap jaga adik sorang lagi agak susah. Sorang lembut hati sorang keras hati. Dan aku boleh nampak didikan yang berbeza daripada mak-mak diorang.
Sorang kalau bercakap dengan anak suka guna suara tinggi, selalu terjerit-jerit, suka bagi amaran. Sorang lagi bila bercakap dengan anak guna suara rendah, lembut dan dia suka rasionalkan anak dia even budak tu kecik lagi.
Contoh
Anak dia lalu depan orang solat. Pijak sejadah. Mak dia tak terus marah, tak jegil mata atau tinggi suara. Mak dia cakap
Mak: jangan lalu depan orang sembahyang (suara lembut je)
Anak: kenapa? (pun lembut juga. Aku rasa kalau mak dia terus marah mesti anak dia akan tanya dengan nada protes)
M: tak baik
A: kenapa?
M: nanti orang tengah sembahyang nampak ica. Tak boleh
A: kenapa?
M: Tuhan tak suka
A: lalu sini boleh? (anak dia lintas lagi, kali ni luar sejadah. Logik dia kalau lalu luar sejadah org tak nampak agaknya)
M: pun tak boleh (suara masih tak naik)
A: sini boleh (lalu belakang)
M: situ boleh (dan mak dia pimpin anak dia bawa keluar bilik)
Dalam cerita ni aku la orang yang tengah solat tu. Persoalannya, macam mana aku boleh dengar? Haha. Nampak sangat aku tak khusyuk.
Anak-anak macam kain putih. Terpulang pada ibu bapa untuk didik anak masing-masing. Macam mana acuan macam tu la hasilnya. 
Bila suara mak tinggi, suara anak akan jadi lagi tinggi. Bila anak kecil diberi amaran, lagi mereka melawan. Bila ibu bapa guna kekerasan, lama-lama anak dah tak heran.
Makin tinggi suara mak pada anak, makin jauh hati mak dan anak.
Makin rendah suara mak pada anak, makin dekat hati mak dan anak.
#Take note zee..

Saturday 25 July 2015

Lamaran Sebuah Perkahwinan

Ya, aku suka tulis..
this one aku tulis lama dah
and this is my favourite...
perkahwinan tanpa couple, tanpa dating, full of surprise
siapa berani cakap tak akan berjaya 
enjoy;)

 

Azah mundar mandir dalam bilik. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Keadaan bilik yang berhias indah nyata tak dapat mententeramkan hatinya. Hantaran yang digubah pelbagai bentuk di atas katil terasa begitu menyemakkan mata apatah lagi dengan pakaian songket tebal dengan kembang di bahagian bahu. Dia benar-benar rimas.
Dari tingkap biliknya, Azah dapat lihat mak dan abah tak menang tangan melayan tetamu yang tak kunjung surut. Wajah kedua mereka tak lekang dengan senyuman. Maklumlah, anak bongsu yang selama ini liat nak berkahwin akhirnya akan menjadi isteri orang. Apatah lagi bakal menantunya memang calon idaman mereka.
“Budak ni, tak reti duduk diam agaknya,” Temah Ghazal masuk memeranjatkan Azah. “Habis dah ronyok baju kau tu.”
Azah mengeluh. Baru sekejap dapat merehatkan telinga, dah diganggu semula
“Dah siap pelamin?” tanya Azah.
“Belum. Dah lebih 20 tahun aku buat pelamin, tah pernah-pernah runtuh. Kahwin kau ni boleh runtuh pulak. Isshh tak-”
“Mak Temah pergilah buat, nanti tak sempat pula,” cepat Azah memotong sebelum sempat Temah Ghazal memanjangkan leterannya
Akhirnya Temah Ghazal keluar semula, membuatkan Azah lega sedikit. Baru sebentar tadi telinga Azah disumbat dengan pelbagai tip suami isteri daripada Temah Ghazal. Sedikitpun tidak membantu, malah membuatkan Azah makin takut untuk melayari kehidupan sebagai suami isteri. Mana taknya, Temah Ghazal asyik menyebut tentang tanggungjawab isteri; isteri perlu banyak mengalah, banyak bersabar, melebihkan suami daripada segala hal yang lain, sedia menerima kelebihan dan kekurangan suami. Ah, semuanya hanya menuntut pengorbanan daripada pihaknya. Bagaimana pula dengan pihak suami. Adakah si suami tidak perlu bersabar, tidak perlu mengalah? Adakah si suami sedia menerima kelebihan dan kekurangan isteri ataupun kekurangan si isteri akan dijadikan alasan untuk menambah cawangan?
Ah, dia terlalu jauh berfikir padahal dia belum pun melangkah ke alam rumah tanngga. Buat masa ini Azah perlu bersendirian. Bersendirian memikirkan sedalam-dalamnya tentang masa depan yang bakal ditempuhnya kelak dengan orang yang tak dikenali hati budinya lagi.
Walaupun Azah orang yang diraikan dalam majlis ini, tapi baginya, dialah orang yang paling tidak gembira sekali. Awal pagi tadi baju sifon sutera putih hadiah Kak Long untuk dipakai pada majlis nikahnya koyak rabak dicakar Boby, kucing kesayangannya yang menyebabkan kucingnya itu dikuarantin sehingga majlis perkahwinan ini selesai. Dan kerana itulah Azah kini memakai baju songket putih yang pernah dipakai oleh emak pada majlis perkahwinannya dulu. Ikutkan hati Azah lebih rela memakai baju kurung biasa daripada baju tahun 50an ini, tapi nenek yang beria-ia mahu Azah memakai baju putih untuk pernikahan, kononnya mengikut tradisi. Rasanya baju kurung putih yang emak selalu pakai untuk menghadiri majlis pengkebumian pun lebih baik daripada baju songket kembang di bahu ini. Sebentar tadi, pelamin putih gading yang baru dibina semalam runtuh di bahagian kepalanya. Cuaca di luar pula kelihatan semakin muram. Adakah ini petanda masa depan kelam yang bakal dilaluinya kelak?
“Lawa pun bila pakai kebaya macam ni,” nenek yang muncul tiba-tiba mengejutkan lamunan Azah.              
“Kan elok selalu macam ni daripada asyik pakai baju yang tah apa-apa tu.”

Azah sekadar tersenyum. Azah tahu nenek memang tidak suka melihat dia memakai seluar. Kalau boleh nenek mahu dia berbaju kurung sahaja setiap hari. Sebenarnya baju ini yang ’tah apa-apa.’ Kalau rakan-rakan sekerjanya nampak Azah memakai baju ini, tentu mereka ketawa besar. Namun Azah turutkan juga keinginan nenek itu. Lagipun daripada awal lagi majlis ini memang bukan untuknya. Majlis ini untuk memenuhi keinginan nenek yang ingin merapatkan lagi hubungan kekeluargaan nenek dan abangnya yang menyaksikan dua cucu mereka bersatu memandangkan dia dan bakal sua.....emm, Azhar merupakan dua pupu (Azah masih lagi tergeliat lidah untuk membahasakan Azhar sebagai suami). Majlis ini untuk menutup mulut orang kampung yang tak habis-habis bertanya bila dia akan mendirikan rumah tangga sekaligus melegakan telinga emak daripada sindiran orang-orang kampung. Majlis ini untuk menenangkan hati abah yang sentiasa risau mengenangkan anak gadisnya yang duduk jauh di Kuala Lumpur, tiada di depan mata. Majlis ini untuk memuaskan hati Abang Uda yang tak habis-habis melobi Azhar bagai mereka telah berkawan berpuluh tahun lamanya padahal Abang Uda baru berjumpa Azhar beberapa kali sahaja sejak Azhar pulang daripada luar negara. Majlis ini hanya untuk memenuhi harapan dan keinginan keluarganya. Azah sendiri langsung tidak terlibat dalam perancangannya. Semua pakaian pengantin termasuk mak andam dan pelamin dipilih oleh Kak Long. Ikutkan dia tidak ingin bersanding pun. Apa guna tersenyum penuh kepura-puraan di depan tetamu-tetamu sedangkan hatinya langsung tidak gembira. Kugiran yang bingit memainkan lagu rock jiwang karat ketika ini dipilih oleh Abang Uda yang memang gemar berkaraoke. Lauk pauk untuk kenduri kendara semuanya diuruskan abah dan mak.
“Ni ambil, pakai,” tiba-tiba nenek menghulurkan seutas gelang tangan dengan batu permata merah yang halus buatannya.
“Cantiknya! Tak pernah tahu pun nenek ada gelang ni!”
“Saja aku simpan, nak bagi masa kau kahwin nanti.”
“Sayang nenek,” lantas Azah memeluk dan mencium pipi nenek bertalu-talu.
“Issh budak ni, dah merah pulak pipi aku ni. Dah nak jadi bini orang pun perangai macam budak-budak lagi.”
Azah tersengih saja. Nenek memang bermulut tajam, tapi hatinya baik.
“Dah, aku nak tengok orang buat kerja kat luar tu. Kalau tak ditengok, entah apa jadi. Jaga baik-baik, tu gelang pusaka,” ujar nenek lagi sambil berlalu keluar dengan lenggangnya.
Azah tersenyum sendiri. Nenek nampak lebih sibuk dari mak dan abah. Gembiranya macam dia pula nak jadi pengantin. Azah teringat kembali peristiwa 3 bulan lepas...
“Budak Azhar tu bukan orang lain. Kecil-kecil dulu korang bukan main rapat lagi. Pergi sekolah sama-sama, main sama-sama. Kadang-kadang sampai tak nak balik rumah.”
Dulu memanglah, tapi nenek tak faham ke, Azhar yang ingin dijodohkan dengannya ini bukan Azhar 20 tahun yang lepas. Kalau dia Azhar yang dulu, memang Azah pun tak ingin. Dahlah lembik, penakut, rongak pulak tu. Azah ingat lagi bagaimana dia menumbuk Bob yang dua kali lebih besar darinya semata-mata untuk membela Azhar yang sering dibuli Bob. Dan bagai masih terasa lagi pedihnya telinga diketil emak selepas emak Bob datang menyerang emak di rumah.
“Azah fikirlah baik-baik. Maksu Bibah tu bukan orang lain, saudara kita juga,” lembut mak memujuk.
Dulu Azah memang rapat dengan Maksu Bibah, emak Azhar, tapi sejak Maksu Bibah berpindah daripada kampung mereka, Azah semakin jarang berhubung dengan sepupu emaknya itu.
“Tapi Azah dah lama tak jumpa Azhar. Ni bukan zaman dulu mak, nak atur-aturkan jodoh. Orang sekarang pilih sendiri, suka sama suka,” Azah mula berani buka mulut setelah tadi hanya menikus mendengar leteran nenek. Inilah sebabnya dia malas balik ke kampung. Setiap kali balik, pasti hal ini yang akan ditimbulkan. Bagi Azah, berkahwin atau tidak, tak menjadi isu pun. Dia selesa hidup begini, bebas hendak melakukan apa saja tanpa terikat dengan apa-apa komitmen selain kerjaya. Lagipun, masih banyak yang perlu dilakukan sebelum usianya menginjak 30 tahun 2 tahun lagi.
“Nilah susahnya kalau anak dah terlebih pandai dari orang tua. Cakap kita, ada aja nak dibantahnya. Kalau Azhar tu, ikut aja cakap mak dia. Kau tu pula yang banyak alasannya. Nak tunggu kau pilih sendiri, sampai matilah aku jawabnya.”
Daripada nada nenek, Azah tahu nenek berjauh hati dengan sikapnya. Bukan sekali ini saja, malah telah berkali-kali nenek cuba meyakinkan dia supaya menerima Azhar. Malah Azah tahu yang nenek turut mempengaruhi Pak Long, Mak Uda dan Mak Andak untuk turut memujukya. Hebat juga politik nenek!
Sejak dulu lagi, berbakul-bakul pujian telah didengar tentang Azhar. Azhar baik, kerja bagus malah tampan. Tampan pada pandangan nenek tentu sekali berbeza dengan pandangan Azah. Baik pada nenek belum tentu baik padanya. Dan kerja Azhar; dia tidak peduli apa kerja Azhar, cukup jika lelaki itu tidak menjadi biawak hidup yang perlu ditanggung kelak. Jika Azhar begitu sempurna sekali seperti mana yang sering dilagukan di telinga Azah sebelum ini, mengapa dia masih tidak punya pilihan hatinya sendiri? Kenapa dia begitu mudah untuk bersetuju dengan pernikahan ini? Hati Azah sangsi sekali. Tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki bernama Azhar ini. Mungkinkah Azhar seorang lelaki konservatif yang percaya dengan perkahwinan pilihan keluarga. Bagaimana jika selepas berkahwin Azhar menyuruh dia duduk di rumah saja menjaga anak dan suami. Ah...tak mungkin. Azhar lulusan luar negara. Tapi jika nenek menyukainya, tentu dia sekepala dengan nenek juga. Matilah aku!
“Azah, Azah tak duduk sini, cuma balik sekali-sekala dengar mak dengan nenek berleter. Mak ni yang hari-hari dengar orang mengutuk pasal Azah. Diorang asyik bercakap, apa guna belajar jauh-jauh, kerja besar-besar, tapi tak laku, jadi andartu, macam-macam lagi. Mak yang terpaksa tahan telinga. Azah tak rasa tu semua,” mak mula menitiskan air mata.
Azah memang lemah kalau mak dah mula pakai cara psikologi. Setinggi mana pun kedudukan Azah pada hari ini, dia masih ingat pengorbanan ibu bapanya yang membanting tulang setiap hari untuk membesarkannya, sanggup bergolok gadai untuk memenuhi impiannya belajar di luar negara. Azah tak mungkin lupa itu semua. 
Akhirnya Azah setuju juga. Kalau dah lebih sepuluh orang kata Azhar tu baik, lama-lama Azah termakan juga. Apa salahnya sekali ini dia berkorban untuk keluarganya.
Sebaik saja Azah memberi persetujuan, tarikh pernikahannya terus ditetapkan 2 bulan lagi. Rupa-rupanya kedua belah keluarga telah lama merancang, tinggal menunggu kata putus Azah sahaja. Dalam 2 bulan itu, baru dua kali Azah berjumpa dengan Azhar. Itu pun di rumah masing-masing dikelilingi sanak saudara. Walaupun majlis perkahwinannya ditetapkan dalam masa yang singkat, namun majlis pada hari ini tetap sempurna dan meriah. Segala persiapan diatur keluarganya tanpa Azah ambil pusing pun. Daripada dia pening-peningkan kepala memikirkan majlis yang cuma sehari ini, lebih baik dia memikirkan masa depan yang bakal dilalui bersama Azhar nanti.
Mak Temah yang masuk tiba-tiba menyentap kembali lamunan Azah.
“Ni apa pasal pucat aja bibir ni. Kau padam ke gincu tadi?”
“Tebal sangatlah Mak Temah, nak senyum pun susah.”
“Alah, bukan selalu. Hari ni je kau nak solek lebih sikit. Isshh...kalau dapat sepuluh pengantin macam kau ni, boleh pengsan aku dibuatnya,” leter Temah Ghazal sambil menonyoh kembali gincu di bibir Azah. Lantaklah, lepas ni boleh padam balik.
“Kawan-kawan kau dari bandar tu dah datang. Tiga kereta semuanya.”
“Azah nak jumpa diorang Mak Temah, bolehkan?” pinta Azah separuh merayu.
“Tak boleh. Biar dia orang makan dulu. Dah siap nikah nanti baru boleh jumpa,” balas Temah Ghazal tegas.
“Kenapa pula?” tanya Azah terkilan. Di saat ini, dia perlukan teman berbual untuk meredakan sedikit keresahannya. Bukan nenek dan bukan Temah Ghazal. Mereka hanya tahu memberi nasihat yang berjela-jela.
“Kau tu dah nak naik pelamin, nanti hilang seri kalau ramai sangat orang dah tengok.”
Azah mengeluh. Ada saja pantang larang pelik-pelik yang terpaksa dipatuhi.
“Dah, jangan nak tarik muka pulak. Duduk diam-diam, baca ayat seri naik pelamin yang aku bagi tadi. Kejap lagi laki kau sampai.”
Ayat seri naik pelamin? Karut! Kertas yang diberi Temah Ghazal tadi telah di mana-mana Azah campakkan.
Sejenak Azah teringat rakan-rakan sepejabatnya yang beria-ia mahu melihat Azah bersanding. Maklumlah, di kalangan mereka, hanya Azah saja yang masih belum mempunyai teman istimewa, tiba-tiba dia pula yang akan melangsungkan perkahwinan. Bila Azah sampaikan berita ini pada mereka, satu pejabat mentertawakannya.
Are you really sure, Azah. I knew Jason almost 2 years and still I feel I’m not really know him, but you….only meet twice and straight away ….married,” terputus-putus Wendy berbicara menahan gelak.
“Mesti dia ni handsome macam Brad Pitt. I know you, really high taste,” Rita tersengih cuba menahan tawa.
Azah menggeleng. Dia telah bersetuju sebelum bertemu Azhar lagi.
“Tak pun mesti dia kaya, lagi kaya daripada anak Datuk Arshad yang you reject tu,” Suhaili pula menyampuk.
Kan aku dah cakap, dia pilihan mak bapak aku. Aku cuma ikut aja,” balas Azah, sakit hati dengan sikap teman-teman yang tidak mengerti.
“Ha, baru hari ni aku tahu kau ni anak mithali rupanya!” Daniel pula mengusik.
Tawa mereka berderai semula.
“Tapi aku rasa sesuailah diorang ni. Azah, Azhar. Azhar, Azah. Kan dekat-dekat aja nama tu,” ujar Daniel lagi, tambah membengkakkan perasaan Azah.
“Kahwin bukan perkara main-main, Azah,” ujar Rita, mula serius. How can you make sure that he is really ‘the one’ by just meet him twice, no longer than 5 minutes?” 
Azah diam. Betul juga kata Rita. Sedangkan rakannya dulu yang bercinta bagai nak rak sejak zaman persekolahan, akhirnya musnah juga perkahwinan mereka, bagaimana pula dengannya yang hanya bertemu semula 2 kali sahaja. Lantas, Azah teringat pesan ibunya malam tadi….
“Bercinta sebelum kahwin belum tentu menjanjikan kebahagiaan. Mak pun tak pernah kenal abah sebelum kahwin, tapi kami masih kekal hingga ke hari ni. Yang penting, Azah mesti utamakan suami dalam segala hal. Tak boleh ikut kepala sendiri je macam dulu.”
Entahlah, Azah sendiri tak pasti sama ada dia mampu untuk meletakkan lelaki ini sebagai penentu haluan hidupnya kelak.
  “Azhar adalah pilihan yang paling tepat untuk Azah. Percayalah, kami takkan pilih yang buruk untuk Azah. Mak yakin Azah akan bahagia dengan Azhar,”
 “Azhar,” tiba-tiba terpacul nama itu dari bibirnya. Semoden-moden Azah, lidahnya bagai kelu untuk meminta nombor telefon Azhar daripada ibunya. Azhar sendiri tidak pernah menelefonnya. Dua kali mereka bertemu pun hanya ketika rumah masing-masing mengadakan kenduri.
 Spontan Azah teringat pertemuan pertamanya dengan Azhar ketika Azhar bertandang ke rumahnya dulu. Dia sendiri tak menyangka, lelaki yang dikenali sejak kecil lagi, kini telah jauh berbeza. Mungkin renungan dan lesung pipit di pipinya yang masih mengingatkan Azah pada teman lamanya itu. Tentang rupa, memang Azah tak nafikan, taste nenek bukanlah teruk sangat, tapi dari segi baik, Azah tak dapat pastikan lagi. Masing-masing hanya saling berbalas senyum tanpa sepatah kata. Maklumlah banyak mata di sekeliling yang memerhati.
 Kali kedua mereka bertemu semasa kenduri arwah ayah Azhar di rumahnya. Waktu itu dia sedang berdiri membasuh sayur di sinki. Daripada tingkap dapur yang terbuka, dia curi-curi melihat Azhar yang sedang sibuk membantu orang kampung memasak. Entah mengapa matanya begitu tertarik untuk memandang Azhar. Dengan tuala kecil tersangkut di bahu, seluar panjang yang dilipat ke paras betis dan lengan panjang yang disinsing ke atas, lelaki itu nampak santai sahaja bergaul dengan orang-orang kampung yang sebaya dengan abahnya. Tak sangka pandangan mereka bertembung pula. Malunya Azah rasa, bimbang dianggap tersua-sua pula. Sempat Azhar  memberi isyarat mata ingin berjumpa di tepi rumah.
Sampai saja di tepi rumah, terus saja Azah melontarkan soalan pada Azhar yang sedang menunggunya di pangkin bawah pohon jambu, tempat mereka selalu bermain dahulu.
 “Kenapa awak setuju dengan pernikahan ni?”
 “Kenapa awak setuju?” tanya Azhar kembali. Wajahnya tenang saja menjawab soalan Azah yang keras nadanya.
 “Sebab keluarga saya.”
 “Diorang paksa awak?”
 “Awak belum jawab soalan saya tadi,” ujar Azah, tidak mahu dia pula yang disoal siasat.
 “Awak rasa?”
 Ah, Azhar ini sengaja mahu mengelak soalannya.
 “Setahu saya, lelaki yang setuju dengan pilihan keluarga dalam soal jodoh cuma ada tiga. Pertama, lelaki tu ‘anak emak.’ Kedua sebab dah give up nak cari sendiri sama ada baru frust putus cinta atau dah tak laku sangat dan pilihan satu lagi..” Azah terdiam seketika, keberatan untuk mengatakannya.
 “Apa satu lagi?” tanya Azhar.
 “That man is gay but want to prove that he’s not.
 Spontan Azhar tergelak.
 Namun Azah terus berlagak biasa. “Boleh saya tahu, awak ni kategori yang mana satu?”
 Azhar diam sejenak sebelum menjawab. “Tiga-tiga bukan. Saya sedia kahwin dengan awak atas dasar tanggungjawab.” Wajahnya tampak serius.
     Azah mengerut dahi. “Kenapa pula?”
     “Sebab saya pernah cium awak masa kita tadika kat tempat ni,” serentak Azhar tergelak besar.
     Wajah Azah mula merona merah. Sempat dia mainkan aku!
     “Dan ingat tak lepas tu awak tendang kaki saya sampai lebam seminggu.”
   “Memang patut pun. Awak dulu-” sebelum sempat Azah menghabiskan ayat, terdengar seseorang berdehem di belakang. Nenek rupanya. Habis kantoiKalau orang lain boleh bagi chance, tapi bukan nenek.
  “Nenek Long! Bila sampai?” sapa Azhar mesra. Cepat Azhar mengambil beg di tangan nenek lantas mencapai tangan nenek bersalam. Siap bongkok habis untuk mencium tangan lagi. Pandainya membodek. Patut nenek yang cerewet pun boleh cair.
“Baru aja Pak Ngah kamu hantar tadi,” jawab nenek. “Amboi anak dara ni, orang tengah sibuk kat dalam, kau duduk senang lenang kat luar pulak. Pergi masuk, ringan-ringankan tulang tolong apa yang patut.”
Azah masam. Tengok tu, aku sorang yang kena marah, padahal Azhar yang ajak keluar tadi. Nenek memang berat sebelah, Azah merungut sendiri.
“Tengok, membebel pula tu. Azah ni memang macam ni Azhar, keras kepala. Nanti pandai-pandailah kau jaga dia.”
Berdesing telinga Azah mendengarnya sementara Azhar hanya tersenyum-senyum. Nasib baik selepas itu Maksu Bibah datang menyambut nenek, kalau tidak, mahu nenek terus membebel memalukannya di depan Azhar.
“Azah jangan ambil hati dengan nenek Azah tu. Biasalah orang tua,” lembut Maksu Bibah memujuk apabila nenek telah masuk ke dalam rumah. Terubat juga hati Azah yang panas tadi.
Yang Har ni, buat apa tersengih-sengih lagi kat sini. Pergi tolong orang kampung kat belakang tu,” tegur Maksu Bibah pada anaknya.
Azah tersenyum sendiri, teringat betapa baiknya ibu mertua....opss, bakal ibu mertuanya itu.
“Apa yang kau sengih sorang-sorang lagi tu. Rombongan pengantin lelaki dah sampai,” becok suara Temah Ghazal memecah lamunan.
Berderau darah Azah. Kalau nak lari sekarang sempat tak agaknya, sempat Azah membuat rancangan bodoh.
Di ruang tamu, Azhar telah siap sedia bersila di hadapan Tok Kadi. Sebelum Tok Kadi sempat memulakan bicara, Azhar membisikkan sesuatu kepada Tok Kadi. Kemudian semua orang berbisik sesama sendiri apabila permintaan Azhar tadi dinyatakan oleh Tok Kadi.
Sementara itu di dalam bilik, Azah cuba bertenang di sebalik rasa gementarnya. Namun apabila tiba-tiba Mak Uda dengan wajah serius menggamit Temah Ghazal keluar dari bilik, dirasakan bagai ada ombak tsunami yang memukul dadanya, membuatkan dia tidak boleh bertenang lagi. Apa pula masalahnya? Adakah Azhar mengubah fikiran di saat akhir? Ya Allah, tabahkanlah hatiku menghadapi segala yang mendatang.
“Assalamualaikun Azah,” tiba-tiba Azhar terpacul di muka pintu. “Boleh saya masuk? Ada benda sikit saya nak cakap.” Nada Azhar kedengaran cukup serius.
Azah hanya mengangguk, tak sanggup mengangkat muka. Apa jua yang bakal diucapkan oleh Azhar, dia harus bersedia. Azhar masuk ke dalam bilik tanpa menutup pintu memandangkan hanya mereka berdua saja dalam bilik pengantin itu.
“Azah, saya tahu awak sedang resah sekarang ni. Percayalah saya lebih-lebih lagi. Sejak kita dewasa, kita langsung tak kenal satu sama lain. Azah yang ada dalam fikiran saya selama ini cuma Azah 20 tahun yang lepas. Azah yang lasak, kasar, garang, dengan rambut pendek seluar pendek, suka panjat pokok, main paya dengan budak lelaki.”
Amboi sakan mengutuk aku. Kalau dah tak sudi tu cakap ajalah.
Bila saya jumpa awak semula hari tu, saya sedar yang Azah saya tak pernah berubah. Masih lagi degil, keras kepala, tegas.” Azhar berhenti seketika. But she never fail to amuse me,” nada Azhar mula berubah lembut.
“Dulu Azah pernah tanya saya kan, kenapa saya setuju dengan pernikahan ni? Memang pernikahan ni kehendak keluarga kita, tapi ini kehendak saya juga. Kalau Azah nak tahu saya sukakan Azah sejak kita kecil lagi. Lepas kita jumpa semula perasaan tu mula bertunas kembali, malah semakin bercambah menjadi sayang. Sebab tu saya tak ragu-ragu untuk terima Azah. Tapi saya tahu Azah ambil masa yang lama untuk terima saya. Itupun mungkin sebab Azah terpaksa bila orang sekeliling asyik desak Azah.”
Azah hanya diam, terus menundukkan muka. Memang dia terpaksa menerima Azhar tetapi entah mengapa separuh daripada hatinya kuat menyatakan yang Azhar adalah pilihan terbaik untuknya. Mungkin kerana dia mula termakan pujukan nenek, emak dan saudara maranya yang lain atau mungkin rasa itu terbit lewat dua kali pertemuan mereka dahulu. Entah, Azah sendiri tidak pasti dengan pertimbangannya sendiri ketika ini.  
“Saya dapat rasakan yang kita mampu untuk lakukannya bersama…maksud saya hidup sebagai pasangan suami isteri. Tapi saya tak mahu jadi orang yang pentingkan diri sendiri. Sebab tu saya nak tahu perasaan Azah. Apakah Azah benar-benar ikhlas untuk terima saya? Apakah Azah memang tak ada sesiapa sebelum ni?” Azhar diam  seketika, memberi ruang untuk Azah berbicara tetapi Azah tetap diam dan menunduk.
“Saya pernah nak tanya Azah masa kita jumpa bawah pokok jambu tapi tak sempat. Lepas tu, saya tak tahu macam mana lagi nak jumpa Azah. Nak minta nombor telefon daripada mak pun rasa segan sangat apatah lagi nak datang rumah Azah. Saya tahu sekarang bukan masa yang sesuai untuk saya tanyakan perkara ni tapi selagi ijab dan kabul belum dilafaz, masih tak terlewat untuk kita hentikan pernikahan ni. Saya tak akan paksa kalau Azah tak mahu.”
Azah memberanikan diri mengangkat muka memandang Azhar. Wajah Azhar nampak tenang. Ketenangan yang mendamaikan Azah seketika. Azhar tampak segak dalam persalinan baju melayu cekak musang putih bersampin songket hitam bertenun emas. Azah tidak dapat membayangkan apabila dia berdiri di sebelah Azhar dengan baju songket putih ’old fashion’ ini. Bagai enggang dengan pipit, bagai pinang dikapak-kapak!
“Azah, sekarang ni Azah tak payah fikir benda lain. Suarakan aja apa yang Azah rasa. Pasal nenek, pasal keluarga kita, pasal majlis ni biar saya yang uruskan. Azah tak perlu risau apa-apa.”
Azah kehabisan kata-kata. Jika sebelum ini, Azhar yang dikenali ialah Azhar ‘anak emak’ yang manja dan penakut tapi ternyata Azhar yang sedang berdiri di hadapannya sekarang adalah Azhar yang berbeza. Azhar yang cukup berani melakukan apa yang dia sendiri tak terfikir untuk melakukannya. Seketika hati Azah mengakui yang pilihan keluarganya adalah pilihan yang cukup tepat sekali.
Menyedari Azah hanya diam, hati Azhar semakin gusar. “Azah, apa Azah betul-betul rela menjadi isteri saya?”
Azah cuba menjawab, tetapi seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya. Akhirnya, cuma air mata yang mampu keluar. Ahh..kenapa aku perlu menangis sekarang. Dia hanya ingin bertanya, bukannya membatalkan majlis ini seperti yang disangka. Tetapi jika betul dia ingin membatalkan majlis ini sekalipun, mengapa aku perlu bersedih. Bukankah ini apa yang aku inginkan? Hati Azah bermonolog sendiri, cuba menenangkan dirinya daripada terus menangis. Dia malu menangis di depan Azhar. Jika dulu Azhar yang selalu menangis dan dia yang akan memujuk.
Air mata Azah memberi pengertian yang berbeza bagi Azhar. Ya, memang benar Azah tidak pernah rela menerimanya. Mungkin Azah telah mempunyai teman istimewa.
“Azah nak saya batalkan majlis ni?” dengan berat hati Azhar bertanya.
Laju Azah menggeleng, tindakan refleks yang dia sendiri tidak sempat mengawalnya. Yang pasti air matanya masih tidak henti mengalir.
“Azah, jangan macam ni. Nanti orang ingat apa pula saya dah buat dengan anak dara orang ni,” sempat Azhar mengusik sambil tersenyum. Senyuman yang mampu memadam segala keresahan yang bersarang di hati Azah sejak tadi.
“Azhar!” setelah mengumpul segala kekuatan, akhirnya Azah mampu untuk bersuara
“Ya,” balas Azhar lembut. Sejuk telinga Azah mendengarnya.
“Betul awak sayangkan saya?”
Azhar tersenyum lantas mengangguk
“Sejak bila?”
“Sejak kecil lagi. Kalau tak macam mana budak lembik dan penakut macam saya boleh berani cium budak tomboi macam awak.”
Azah ketawa kecil. Ah, peliknya. Baru sebentar tadi Azhar membuatkan dia menangis, kini Azhar membuatkan dia ketawa pula.
 “Tapi tu cinta monyet,” bidas Azah. Jawapan Azhar masih belum memuaskan hatinya.
 “Macam saya cakap tadi, saya sedar perasaan tu masih ada bila saya jumpa Azah semula.”
 “Masa awak datang rumah abah? Tapi masa tu awak dah setuju.”
 Azhar menggeleng namun tetap tersenyum. “Bukan. Itu bukan kali pertama saya jumpa Azah semula.”
 “Jadi bila?” tanya Azah tidak sabar.
 “Kira-kira setahun lepas. Masa tu saya datang rumah Azah untuk jenguk nenek sakit. Tapi masa tu tak ada orang dekat rumah. Nasib baik saya tak balik terus kalau tidak tentu saya tak nampak Azah tengah panjat pokok mangga tinggi belakang rumah untuk turunkan anak kucing Azah. Mungkin Azah pun tak perasan saya masa tu sebab Azah asyik sangat bercakap dengan kucing tu,” Azhar tersenyum nakal.
 “Awak memang suka orang panjat pokok ke?” Azah sengaja menduga, menyembunyikan rasa malu. Kenapa Azhar perlu melihat dia dalam keadaan memalukan seperti itu? Kenapa tidak Azhar melihatnya ketika dia sedang menyapu halaman atau memberi ayam makan atau apa-apa sahajalah selain daripada memanjat pokok.
 “Kalau macam tu, lebih baik saya kahwin dengan beruk,” ujar Azhar spontan.
Azah menjeling, pura-pura masam namun dengan perasaan seakan-akan di awangan ketika ini, sukar untuk dia menyembunyikan senyuman.
 “Saya suka bila Azah tak habis-habis buat saya kagum, tak habis-habis buat saya tersenyum dan tak habis-habis buat saya fikirkan Azah sejak tu. Yelah, sebelum ni saya tak pernah nampak anak dara panjat pokok tinggi sampai hujung dahan. Siap gayut-gayut lagi.” Azhar ketawa kecil.             
Wajah Azah merona merah namun dia masih cuba berlagak selamba.
 “Sekarang awak tahu kan Azah yang awak kenal dulu masih lagi belum berubah. Masih lagi suka panjat pokok, masih lagi degil, keras kepala, semberono. Awak sanggup terima semua tu?”
 “Saya sanggup terima semua tu sebab saya tahu di sebalik luaran Azah yang keras, dalamnya ada Azah saya yang manis, penyayang, Azah yang lembut hati, sanggup berkorban sebab tak nak hampakan keluarga. Dan juga Azah yang cengeng,” sempat Azhar mengusik.
 Azah tersipu malu. “Selain tu, awak sanggup terima kucing saya, Boby? Saya tak akan pergi mana-mana tanpa dia. Tapi dia nakal. Dia yang cakar baju nikah saya sampai saya terpaksa pakai baju ’Syarifah Aini’ ni.”
    Azhar tergelak. “Azah memang sentiasa ada cara untuk buat saya ketawa kan?”
    “Saya tak buat lawak,” Azah terpinga-pinga.
   “Saya tahu cuma saya tak boleh berhenti tersenyum bila dengan Azah,” balas Azhar, cuba untuk serius semula. 
“Ok, saya sanggup terima Boby asal Azah janji jangan panjat pokok kalau Boby tersangkut atas pokok lagi.”
“Kenapa pula tak boleh?” tanya Azah, bimbang memikirkan kemungkinan Azhar mahu dia berubah menjadi perempuan yang ayu, lemah lembut, memakai kain batik dan baju kurung sepanjang masa.
“Saya takut isteri saya jatuh. Lain kali biar saya yang panjat.”
 Sekali lagi Azah tersipu-sipu.
“Orang dekat dalam tu tak habis-habis lagi ke?” suara nyaring nenek daripada luar memutuskan perbualan mereka. 
“Tok kadi dah lama tunggu, lepas ni boleh sambung lagi. Nak bercerita sampai pagi pun boleh.”
Azah dan bakal suaminya (wah!) saling berbalas pandang sebelum masing-masing tersenyum geli hati. 
Azah, untuk kali terakhir saya bertanya, apakah Azah sudi menjadi isteri saya?”
Dengan senyuman yang paling manis, Azah mengangguk sepenuh hati. Mana mungkin dia menolak lamaran ini. Jika wanita lain dilamar dengan sebentuk cincin dan sekuntum bunga, tetapi Azah dilamar dengan sebuah perkahwinan. Bukan saja ada cincin dan bunga, tetapi lengkap dengan hantaran, bunga pahar, pelamin, mas kahwin, khemah kahwin dan nasi minyak. Pendek kata lengkap segala-galanya.   
“Oh ya, tak kira baju Syarifah Aini’ ke, Saloma’ ke, Azah tetap manis di mata saya.” Sempat Azhar mengenyit mata sebelum melangkah keluar daripada bilik pengantin itu.
Kembang hati Azah mendengar pujian Azhar. Jika tadi dia bimbang ditertawakan rakan-rakan sekerjanya, kini tidak lagi. Asalkan elok di mata Azhar, pandangan orang lain tidak lagi relevan padanya.          Wah, gaya seperti orang yang sedang dilamun cinta saja!   
Dan ketika awan di langit bertukar cerah, pipi Azah pula dibasahi hujan lebat tatkala mendengar lafaz akad nikah yang diucap tenang oleh Azhar, tanda merelakan dirinya menjadi milik Azhar yang sah, untuk selamanya.