Friday 4 March 2016

Intan Insan Pilihan

Ain...
Dia bersih tiada dosa,
Seputih salju tiada noda,
Tiada cinta dunia di hatinya,
Tiada hasad dengki, tidak bersangka-sangka,
Tiada rasa cemburu, tidak berlumba-lumba,
Dia tenang dalam dunia istimewanya,
Cukup makan pakai tersedia,
Dia senyum tanda gembira.

Ain...
Kadang kala cikgu kurang mengerti,
Kadang cikgu menepuk dahi,
Kadang cikgu tercuit hati,
Dengan Ain yang bercakap tanpa henti.

Ain...
Tak pernah lokek bila diminta mendoakan,
Setiap permintaan cikgu lekat dalam ingatan,
Berulang kali pun tak pernah kepenatan,
Tulus hatimu tak kan cikgu lupakan.

Ain
Ketika ini bebelan mu lah yang cikgu tunggu,
Ketawa halusmu kedengaran syahdu,
Kata-katamu bagai berlagu,
Sungguh cikgu dilanda rindu,
Maafkan atas kekurangan cikgu mendidikmu.

Ain...
Enam belas tahun kau dipinjamkan,
Hadirmu sebagai rahmat juga ujian,
Lahirmu membawa senyuman,
Pergimu membawa kenangan,
Maafkan cikgu kiranya kurang perhatian,
Maafkan cikgu kiranya kurang pengertian,
Maafkan cikgu kiranya kurang kesabaran,
Maafkan cikgu atas segala kekurangan.

Ain...
Menjelang detik perpisahan,
Cikgu lihat Ain semakin muram,
Tiada ketawa ceria, tiada juga senyuman,
Diminta makan Ain enggan,
Cikgu tarik ajak masuk ke dalam Ain tegak terus diam,
Kosong pandangan mata,
Bagai tuli telinga,
Kalau saja cikgu tahu itu kali terakhir melihatmu di muka pintu,
Ingin cikgu rangkul Ain di kala itu,
Ingin cikgu berkata; moga di sana kita dapat lagi bertemu,
Bersama Ain di syurga Firdausi,
Walau hati gusar sekali,
Mengenang khilaf diri,
Cikgu tak setulusmu Ain,
Cikgu banyak yang perlu disoal dan dipertanggungjawabkan,
Andai kata cikgu tergelincir di titian,
Harap doamu dapat menyelamatkan.

Ain...
Anak autisme anak syurga,
Bersih hatimu tiada dosa,
Biacaramu lurus tiada dusta,
Mungkin kau sudah kepenatan di dunia,
Rehatlah Ain baik-baik di sana,
Hingga tiba hari kebangkitan semula,
Kembali Ain ke tempat asalmu di syurga.

Ain...
Pergimu membawa pengajaran berharga,
Nak mati tak kira umur, tiada tanda,
Tak perlu sakit bertahun lama,
Bila-bila masa boleh dipanggilNya,
Tak tunggu bila kita sudah bersedia,
Tidak ditunda hingga amalan sudah cukup dibawa,
Beringat sentiasa jangan leka,
Kelak kita juga akan menyusulnya,
Penyaksian di alam roh dulu akan ditanya,
Siapa Tuhan siapa hamba,
Tidak bisa lagi mendabik dada,
Diri tersungkur takut bersuara,
Walau meminta dengan air mata darah,
Kembali ke dunia tak mungkin sudah,
Segalanya ditimbang walau sebesar zarah,
Moga tiada penyesalan tak sudah.

Ain...
Panjang sudah cikgu berbicara,
Walau cikgu tahu Ain tak dapat membacanya,
Cukup sekadar luahan rasa,
Sebagai pelepas rasa di dada,
Cikgu tahu kini Ain tenang di sana,
Dalam dakapan yang Maha Esa,
Dengan gambaran taman-taman syurga,
Yang sedia menantimu bila-bila masa,
Setinggi mana kasih kami padanya,
Melangit lagi kasih Ilahi pada insan suci tiada dosa,
Mendung di tanah perkuburan,
Tatkala jasad disemadikan,
Bagai turut sama menangisi pemergian,
Anak istimewa di sisi Tuhan,
Intan insan pilihan.
Intan Nurain dalam kenangan.
7 Jun 1999 - 4 Mac 2016
12.12 pm hari Jumaat

No comments:

Post a Comment